Langkau ke kandungan utama

Tajuk Karangan Tentang Krisis Makanan Dan Teknologi Sebagai Penyelamat.

Karangan Kedua.

Sejak kebelakangan ini, krisis kekurangan makanan telah melanda dunia kita.Masalah ini menjadi semakin serius terutamanya kepada negara membangun seperti negara kita,Malaysia.Hal ini kerana kemelut ini mendatangkan pelbagai impak negatif kepada negara dan masyarakat.Pegarah Eksekutif Program Makanan Dunia Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu,Josette Sheeran,menggunakan istilah ‘the silent tsunami’atau tsunami senyap untuk menggambarkan keadaan ini.Dengan itu, faktor berlakunya krisis kekurangan makanan dan langkah penyelesaiannya akan dibincangkan.

Salah satu punca yang memangkin kepada masalah ini ialah peningkatan permintaan terhadap bekalan makanan.Sedasawarsa ini,negara kita mengalami kadar pertumbuhan penduduk yang agak pesat, iaitu 2.6 peratus setahun.Hal ini menyebabkan permintaan terhadap bekalan makanan meningkat dengan drastik.Dengan itu,peningkatan permintaan terhadap bekalan makanan yang melebihi penwaran bekalan makanan telah menyebabkan krisis ini berlaku.Dalam era moden ini,perkembangan sektor perkhidmatan terutamanya dalam bidang hotel dan restoran telan menyebabkan permintaan terhadap bekalan makanan seperti beras,gula dan sayur-sayuran semakin meningkat.Hal ini demikian kerana mereka ingin memenuhi kehendak setiap pelanggan dengan menyediakan pelbagai hidangan dalam menu.Ternyatalah bahawa permintaan yang tinggi menyebabkan kekurangan bekalan makanan.

Selain itu,perubahan iklim yang ketara juga mendasari masalah ini.Saban hari, dunia kita mengalami perubahan iklim yang amat ketara.Sebagai contohnya,kejadian El-Nino semakin kerap berlaku dan banjir besar juga kerap melanda dunia kita.Baru-baru ini,kejadian El-Nino telah melanda Australia yang menyebabkan fenomena kebakaran hutan berlaku.Menurut statistik,kemarau terburuk yang melanda Australia telah menyusutkan pengeluaran gandum sebanyak 60 peratus.Fenomena ini telah menyebabkan bekalan gandum dunia berkurangan.Secara implisitnya,kejadian ini telah memberi impak kepada negara kita apabila harga gandum meningkat.Jelaslah bahawa perubahan iklim menyebabkan masalah ini berlaku.

Tambahan pula,kemerosotan simpanan stok makanan sedunia juga menyebabkan masalah ini berlaku.Dahulunya, stok makanan adalah melebihi permintaan sedunia.Namun demikian,setiap negara termasuk negara kita mengalami kekurangan simpanan stok makanan.Menurut statistik Bank Dunia,kadar simpanan bjirin dunia adalah pada paras terendah sejak 30 tahun.Dengan itu, kekurangan bekalan stok akan menyebabkan harga makanan seperti beras dan sayur-sayuran meningkat.Sebagai contohnya,harga pasaran global secara purata telah meningkat sebanyak 75 peratus sejak tahun 2000.Hal ini amat membebankan negara membangun dan rakyatnya kerana terpaksa menanggung kos perbelanjaan yang tinggi.Oleh itu,jelaslah bahawa kekurangan stok makanan mendasari masalah ini.

Setiap penyakit ada penawarnya,setiap masalah ada penyelesaiannya.Dengan itu,salah satu langkah yang boleh dijalankan ialah memajukan sektor pertanian.Sektor pertanian yang dahulunya diabaikan harus dibangunkan untuk menghasilkan bekalan makanan seperti beras dalam kuantiti yang banyak.Kerajaan haruslah mengusahakan aktiviti ini ke arah produktiviti yang berskala besar.Hal ini supaya keperluan tempatan dan eksport dapat ditampung di samping mengelakkan berlakunya peningkatan harga makanan.Perkongsian pintar dan penyelarasan operasi seperti jentera dan infrasttruktur dapat dikongsi antara petani untuk memajukan aktiviti pertanian yang diusahakan oleh mereka.Ternyatalah bahawa perkembangan sektor pertanian mampu mengatasi masalah ini.

Di samping itu, pembangunan tanah terbiar juga menangani masalah ini.Terdapat banyak kes tentang tanah yang terbiar terutamanya di Kelantan.Jika tanah terbiar ini tidak diusahakan,maka negara kita akan menghadapi masalah kekurangan tanah untuk penanaman padi,kelapa sawit dan sayur-sayuran.Oleh itu,jika tanah inii diusahakan dengan betul,maka kawasan tersebut tidak akan menjadi kawasan yang tidak berguna.Menurut kajian,selepas usaha ini dijalankan,negeri Kelantan mengalami peningkatan lebih 1000 hektar kawasan tanaman padi.Hal ini bukan sahaja mampu meningkatkan hasil pengeluaran bekalan makanan,malahan mengurangkan import negara.Jelaslah bahawa pembangunan tanah terbiar mampu mengatasi kemelut ini.

Tambahan pula,peranan pihak bank juga penting dalam mengatasi masalah ini.Pihak bank seharusnya membantu para petani dengan melonggarkan syarat pinjaman kepada mereka.Kebanyakan para petani terdiri daripada golongan miskin.Oleh itu,dengan melonggarkan syarat pinjaman,mereka mampu mempunyai modal untuk mengusahakan hasil tanaman mereka.Skim pembayaran balik pinjaman pula haruslah dilakukan pada waktu menuai kerana pada masa inilah petani memperoleh keuntungan daripada hasil tuaian.Dengan itu,para petani tidak akan terasa tertekan dengan pinjaman mereka.Bukan itu sahaja,dengan keuntungan yang diperoleh,mereka dapat membeli jentera yang canggih,seterusnya meningkatkan produktiviti mereka.Ternyatalah bahawa masalah ini dapat diatasi melalui peranan pihak bank.

Kesimpulannya,krisis kekurangan bekalan makanan sememangnya membimbangkan kerajaan dan juga rakyat.Hal ini kerana kemelut ini amat merugikan negara kita dari segi ekonomi dan sosial.Makanan seperti beras amatlah penting kepada kehidupan manusia dan negara kita.Makanan membekalkan zat kepada manusia dan menjana pendapatan kepada negara.Oleh itu,krisis kekurangan bekalan makanan haruslah diatasi secara kolektif demi kepentingan bersama.

Karangan Ketiga

Ramai rakyat belum sedar makanan yang sedang mereka hadap seharian itu sedang mengalami krisis. Isu ini telah sedekad dewacanakan. Kemuncaknya krisis makanan dunia kini sudah sampai ke tahap perbincangan PBB dan amaran yang dikeluarkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon baru-baru ini adalah petanda seriusnya isu ini.

Kini;

Beberapa jenis tanaman kontan seperti gandum, jagung dan beras susut secara mendadak di negara pengeluar utama.

Beberapa negara Asia turut merasainya meskipun kebanyakan mereka adalah negara pengeluar beras utama dunia.

Kerajaan Thailand dan Filipina terpaksa mengeluarkan stok simpanan beras negara untuk diagihkan kepada rakyatnya.

Di Indonesia, keadaan menjadi gawat apabila negara itu terpaksa bergelut dengan kenaikan harga barang seperti gula, gandum dan minyak masak sehingga memberi tekanan kepada kehidupan rakyatnya.

Negara Arab berdepan dengan kenaikan harga barang keperluan terutama harga gandum yang naik dua kali ganda. Yaman, negara Arab yang dianggap paling miskin berdepan dengan kenaikan harga barang sehingga 20%.

Malaysia tidak ketinggalan dan bakal dihantui oleh krisis kekurangan bekalan makanan. Malah baru-baru ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memberi amaran bahawa  Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku krisis bekalan makanan global pada 2030.

Tambah beliau lagi, langkah berjaga-jaga penting kerana statistik terbaru Bank Dunia menunjukkan peningkatan ketara harga barang makanan global sejak 1995 iaitu antara 80 hingga 90% dan dijangka terus meningkat sehingga  tahun 2030.

Antara langkah R&D yang dijalankan oleh kerajaan untuk menangani krisis makanan antaranya (Berita Harian 22 November 2010) ;

Kerajaan telah belanja RM4 bilion untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi meningkatkan jaminan bekalan dan keselamatan bahan makanan di negara ini.

Kementerian Sains belanja M2.7 bilion bagi membantu negara membuat persediaan awal menghadapi krisis 2030.

RM115.9 juta dibelanjakan untuk menjayakan program R&D dan bagi komersial tanaman makanan baru berasaskan bioteknologi.

RM67 juta pula untuk melaksanakan 18 projek di bawah Dana Tekno dan RM48.1 juta diperuntukkan untuk menjayakan 305 projek di bawah Dana Sains.

Selebihnya, RM800,000 dimanfaatkan untuk menjayakan lima projek di bawah Dana Inovasi.

Satu dari keperluan asas manusia adalah makanan. Tanpa makanan manusia tidak dapat meneruskan hidup. Makanan yang baik bukan sahaja mengambil kira kandungan zat yang ada dalam makanan tersebut tetapi juga dari segi bersih dan halal turut perlu diberi penekanan.

 Menyediakan bekalan makanan halal dan mencukupi kepada negara juga sebahagian dalam melaksanakan suruhan Allah S.W.T. Rakyat perlu mendapat akses untuk mendapatkan makanan. Berdasarkan polisi FAO yang disiarkan dalam Food And Agriculture Organization Of The United Nations (1998), The Right To Food In Theory And Practise, sekuriti makanan boleh dicapai sekiranya tiga elemen dipenuhi, iaitu:

Jaminan bahawa wujudnya makanan yang mencukupi.

Penawaran makanan yang stabil.

Sesiapa sahaja yang memerlukannya dapat memperolehnya dengan mudah.

Perkataan makanan atau al-Ta‘am dalam bahasa Arab ialah kata plural bagi ta‘amayang bermaksud “segala yang dimakan”. Perkataan ini banyak kali disebut dalam al-Qur’an dan hadith. Ibn al-Athir pula lebih cenderung merujuk perkataan makanan kepada makanan asasi seperti gandum, tamar, sya‘ir dan sebagainya.

Bermula pada zaman Nabi Adam lagi, penekanan terhadap sekuriti makanan dititikberatkan. Nabi Adam dan keluarganya telah menjadikan bercucuk tanam dan memelihara binatang sebagai sumber bekalan keluarga mereka. Anak baginda, Qabil telah mengusahakan pertanian, manakala Habil pula menternak binatang. (Jurnal Syariah, Jil. 17, Bil. 2 (2009) 299-326)

Islam juga memiliki peruntukan dalam hal sekuriti bekalan makanan malah ia juga merupakan isu pokok dalam Islam kerana menepati kehendak dharuri dalamawlawiyat amal kepimpinan umat Islam.

Dalam Prosiding Perkem V, Jilid 2 terdapat tulisan memetik pandangan  Ahmad Subhi Ahmad Mustafa al-„Iyadi, bahawa di dalam bahasa arab sekuriti makanan disebut al-Amn al-Ghiza’i. Dari segi bahasa “al-Amn”bermaksud keselamatan, sekuriti atau keamanan lawannya adalah ketakutan atau ketidakselamatan.14 Firman Allah S.W.T. :

Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.” ( Surah Quraisy  : 4)

Manakala “Al-Ghiza’i” pula bermaksud setiap apa yang dimakan atau diambil manusia daripada makanan dan minuman. Sekuriti makanan dalam Islam adalah akses bagi semua penduduk terhadap makanan halal dan toyyibah yang mencukupi untuk kehidupan yang sihat dan aktif. Semestinya Islam menitik beratkan elemen halal dan toyyibah sebagai elemen yang sangat ditekankan dalam sumber makanan dalam Islam.

Menurut SM Mohamed Idris Presiuden CAP, bekalan makanan dunia adalah mencukupi kerana berdasarkan Peretubuhan Pertanian dan Makanan (FAO) pertanian dunia menghasilkan 2720 kilo kalori setiap orang sehari di mana purata seseorang perlukan hanya 2000 kilo kalori sehari. Yang menjadi masalah global hari ini adalah kemiskinan yang menyebabkan golongan ini tidak mampu memiliki makanan tersebut demikian tulisannya yang disiarkan oleh Utusan Pengguna Mac-April 2011.

CAP juga berangapan pembangunan ala kapitalisme yang rakus menjarah tanah pertanian melalui pembangunan perumahan mewah dan sebagainya menyebakan alam pertanian tidak lestari lagi. Pembangunan tidak mapan sebegini hanya akan menyebabkan krisis makanan lebih membarah lagi.

Pada tahun 1972-1974, keluaran makanan, bekalan dan penggunaan pada peringkat negara adalah pada tahap yang normal. Walau bagaimanapun 50 hingga 200 ribu penduduk mati kebuluran. Mereka mati kerana tidak mampu membeli makanan. Dari perspektif negara-negara maju, kajian oleh LeBlanc  mendapati bahawa negara yang maju seperti Amerika Syarikat juga mengalami masalah berkaitan sekuriti makanan, iaitu pada tahun 2005 didapati terdapat 10.7 % daripada rakyatnya berada dalam keadaan yang tidak terjamin dari segi sekuriti makanan mereka. Keadaan ini disebabkan oleh kemiskinan yang dialami oleh mereka.

Menurut pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti  Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mazlin Mokhtar terdapat 3 faktor utama berlakunya krisis makanan di peringkat global.

Pertambahan bilangan penduduk dunia serta kekurangan tanah yang diperuntukkan bagi sektor pertanian.

Kegiatan perindustrian yang aktif sehingga menyumbang kepada pencemaran selain perubahan cuaca dunia.

Petani tidak  mempraktikkan amalan pertanian moden. Ini termasuk penggunaan teknologi terkini dan memaksimunkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil pengeluaran.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Dr. Zarinah Yusof berkata, krisis yang melibatkan bahan makanan seperti beras dan tepung itu jika tidak dibendung akan memberi kesan terhadap ekonomi negara.

Kata beliau keadaan cuaca juga memainkan peranan selain kenaikan harga minyak dunia. Tindakan Amerika memajukan biofuel menggunakan bahan makanan telah mewujudkan satu konflik. Selain satu pembaziran, ia juga antara penyebab krisis makanan dunia berterusan.

Peningkatan permintaan ke atas biofuel mengurangkan bijirin untuk makanan dan tanah untuk tanaman makanan. Pembukaan tanah baru –persaingan antara tanaman untuk fidstok biofuel vs makanan.

Polisi beberapa negara mewujudkan permintaan ke atas biofuel,US20% (2030),EU 5.75% (2008), Japan 10% (2010), Malaysia 5% (2007), Filipina 5% ethanol 2% biodiesel (2009) (Strategi Baru ke arah Sekuriti Makanan di Malaysia. Strategi MalaysiaAnjuran Bersama MOAAnjuran MOA--UPMUPM--ISIS 14 Julai 2008, PICC, Putrajaya).

 Kebanyakan kajian hanya melihat aspek atau faktor persekitaran yang seolah-olah hanya dijadikan alasan untuk melepaskan tanggungjawab menyediakan bekalan makanan global. Sebagai contoh alasan fertiliti dan alasan pemanasan global hanya menyalahkan keadaan dan zaman tanpa melihat kesilapan manusia mengurus alam secara lestari. Perhatikan hujah-hujah setersunya.

Budaya pemakanan rakyat yang tidak baik

Antara fenomena yang boleh dikatakan krisis dalam sektor pemakanan adalah kebergantungan rakyat malaysia terhadap makanan import. Budaya ranggi, sukakan saingan dengan budaya makan global dan simpton kebudayaan globalisasi yang menjangkiti tabiat rakyat kita menatijahkan hal ini berlaku.

Ini antara faktor mengapa kekayaan dunia tidak teragih secara adil. Rakyat kita tidak akan bersungguh menyediakan makanan sendiri kerana mereka ketagihkan sisa-sisa makanan globalisasi melebihi makanan ruji masing-masing.

Menurut Md Shukri Shuib pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa UUM dalam makalah Milenia Muslim Oktober 2012, negara berbelanja RM 92 juta setiap hari untuk menyediakan bekalan makanan import memperlihatkan seriusnya kebergantungan makanan luar terutama makanan yang elit dan mewah. Bekalan makanan sebegini bukan bertujuan memenuhi keperluan tetapi ia hanya memenuhi kehendak dan selera rakyat Malaysia. Dianggarkan pada tahun 2011 telah RM 27.93 bilion wang keluar akibat import makanan.

Tiada kebuluran berlaku di Malaysia walaupun FAO telah mengatakan pada bulan September 2010, jumlah orang yang mengalami kebuluran di seluruh dunia seramai 925 juta orang.

Rakyat yang gemar mengambil makanan mewah tanpa memikirkan bebanan negara perlu ingat sehingga kini Agensi Makanan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengesahkan bahawa 166 juta orang di 22 buah negara di dunia ini menghadapi kebuluran atau kesukaran untuk mendapatkan makanan yang mencukupi.

Menurut Presiden Teras Pengupayaan Melayu Haji Azmi Abdul Hamid, kebanyakan orang Melayu bandar dan pinggir bandar sudah dibudayakan dengan kehidupan moden. Mereka lebih gemar berbelanja di supermarket. Kebanyakan mereka mementingkan status dan penampilan dari segi pakaian, perhiasan, kereta dan lebih terpengaruh dengan jenama, walaupun kadangkala berbelanja melebihi pendapatan. Sesetengahnya pula lebih suka mengunjungi restoren mewah seperti Starbuck atau Kopitiam demi status dan gaya hidup mewah.

Karangan Keempat

Makanan adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu yang remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijiran dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu di atas dunia ini. Sekiranya, pada tahun 2007, rakyat Malaysia menjadi kecoh apabila bekalan gula dan minyak masak berkurangan di pasaran, bayangkanlah keadaannya sekiranya anda dapati tiada lagi beras dan tepung di rak-rak kedai runcit dan juga pasar raya. Walaupun setakat ini Malaysia belum terkesan dengan fenomena ini secara kritikal, namun berdasarkan 'trend' ekonomi dunia, hal ini langsung tidak mustahil boleh melanda negara kita jika kita alpa mengenainya. Justeru kesedaran rakyat dalammenjayakan proses menyelesaikan krisis makanan ini harus bermula dari hari ini lagi .

Masalah kekurangan makanan, yang pada mulanya bersifat setempat dan sinonim dengan negara-negara dunia ketiga, kini menjadi lebih kronik apabila harga pasaran bekalan makanan di peringkat dunia juga turut meningkatkan dan mula memberi ancaman kesan yang lebih global termasuklah kepada negara-negara maju. Menurut statistik hasil kajian Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningkat sebanyak 700% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun. Harga gandum di pasaran dunia sahaja telah mencatatkan kenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji yang lain seperti beras dan kacang soya telah mencatatkan paras kenaikan tertinggi. Kenaikan harga pasaran bijirin juga akan memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain secara langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanan tenusu.Sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis yang telah melanda merata tempat di dunia dan tidak lagi terbedung kepada negara-negara tertentu sahaja. 

Krisis ini telah memberikan kesan langsung yang menyengsarakan penduduk dunia apabila kita dapat menyaksikan ketidakpuasan hati terhadap kemelut yang berlaku telah mula dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti tunjuk perasaan dan bantahan. Rusuhan telah berlaku di Mexico pada 1 Febuari 2007 apabila rakyat Mexico tidak berpuas hati dengan kenaikan harga makanan yang meningkat sebanyak 400%. Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon telah mengatakan bahawa di kebanyakan negara terutamanya di Afrika, pengguna terpaksa membayar lebih dua kali ke tiga kali ganda untuk makanan akibat daripada kemelut ini. Jika kita soroti sepintas lalu statistik yang ada, pada ketika ini terdapat lebih 854 juta manusia yang hidup dalam kelaparan. 

Punca Krisis

Pakar ekonomi dunia berpandangan bahawa masalah pertambahan penduduk di dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan ialah antara alasan yang telah dijadikan sebagai punca berlakunya kekurangan makanan di dunia hari ini. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melampaui tahap 9 billion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang pastinya tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kelangkaan (kekurangan) sumber-sumber yang ada seperti tanah untuk bercucuk tanam dan juga bekalan air yang bersih untuk pengairan penanaman. Kepesatan permintaan secara mendadak dari kawasan ekonomi yang sedang pesat membangun seperti di China dan India juga telah dikatakan sebagai faktor penambah kepada ketidakseimbangan antara pengeluaran makanan dunia dan juga permintaan bahan makanan dunia.

Keadaan ini juga telah dikatakan menjadi bertambah rumit lagi apabila faktor kebolehan pengeluaran juga telah terjejas akibat bencana alam seperti El Nino dan La Nina, pencemaran alam sekitar dan perubahan yang ketara pada iklim “rumah hijau” dunia secara keseluruhan. Australia telah dikatakan mengalami kemarau terburuk pada tahun 2007 dan telah menyebabkan hasil pengeluaran gandumnya menyusut sebanyak 55%. Hasil penuaian daripada China juga telah menyaksikan penurunan sebanyak 15% sepanjang pemantauan daripada Januari 2000. Faktor-faktor ini adalah dikatakan menjadi penyebab secara langsung kurangnya bekalan makanan yanag boleh diperolehi oleh penduduk dunia pada hari ini.

Pada masa yang sama, faktor kenaikan harga barangan makanan juga telah dikaitkan dengan “kesan penggandaan” kepada beban yang telah pun sedia terhasil akibat daripada kemelut ini. Hal ini adalah kerana, apabila harga barangan makanan meningkat, maka akan menjadi semakin sukar bagi kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk mendapatkan bekalan makanan tersebut selari dengan sistem ekonomi kapitalis dunia yang digunapakai pada hari ini. Kenaikan harga barangan ini telah dikaitkan dengan kenaikan harga minyak dunia dan juga bahan tenaga yang lain yang menjadi keperluan untuk memproses daripada bahan mentah asalnya, mengilang produk dan kos pengangkutan barangan makanan tersebut kepada penjual dan pengguna.

Di samping itu, penghasilan bahan api bio bukan sahaja dikatakan telah melambungkan harga sumber makanan yang berkaitan, malah sekaligus mengurangkan jumlahnya dalam pasaran untuk keperluan makanan manusia dunia. Pada tahun lepas sahaja 30% daripada jumlah tuaian jagung Amerika Syarikat telah digunakan untuk penghasilan Ethanol (antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan bahan api bio) dan jumlah ini pastinya memberikan impak yang besar kerana Amerika Syarikat menyumbang kepada 70% pasaran jagung dunia.

Hakikatnya atau faktor yang diperkatakan tadi adalah bertentangan dengan realiti yang ada. Hairan jikalau dikatakan kekurangan bekalan makanan masih berlaku sekalipun apabila sebenarnya tahap pengeluaran makanan dunia pula bertambah melebihi tahap pertambahan penduduk dunia sedangkan jika dibandingkan antara jumlah penduduk dunia pada tahun 1961 dan 2005 kita dapati jumlah penduduk dunia telah bertambah sebanyak 2.1 kali ganda. Akan tetapi jika kita bandingkan tahap pengeluaran makanan antara tahun yang sama, kita dapati pengeluaran makanan dunia telah bertambah 2.8 kali ganda. Hal ini bermakna, jumlah makanan yang telah dihasilkan untuk setiap individu telah bertambah saban tahun. Oleh yang demikian, rasional bahawa antara punca krisis bekalan makanan adalah kerana bertambahnya bilangan penduduk dunia adalah pena’kulan yang meleset.

Untuk isu perubahan tabiat makanan penduduk dunia yang dikatakan menjadi punca pertambahan permintaan makanan pula, realitinya harus dikaji dengan lebih teliti lagi. Jika kita tanya, benarkah penduduk dunia zaman sekarang makan lebih banyak berbanding dengan penduduk dunia puluhan atau ratusan tahun dahulu, walhal saiz perut manusia lebih kurang sama sahaja? Secara logiknya, keperluan makanan untuk bekalan tenaga manusia seharusnya menjadi semakin berkurangan oleh sebab manusia telah semakin banyak menggunakan mesin dan jentera bagi melakukan tugas-tugas, berbanding orang dahulu yang semata-mata bergantung kepada tulang empat kerat untuk bekerja. Jadi adakah benar manusia sekarang makan lebih banyak ataupun sebenarnya manusia zaman sekarang ini "membazir" dengan lebih banyak?

Akan tetapi jika dilihat laporan kajian tentang pembuangan sisa-sisa makanan penduduk dunia kenyataan kedua sebenarnya lebih tepat. Sebagai contoh, setiap tahun sebanyak lebih daripada 160 billion kilogram makanan telah disediakan di Amerika Syarikat. Daripada jumlah ini, hampir 45 billion kilogram (termasuk sayur-sayuran segar, buah-buahan, susu dan produk bijirin) telah dibuang ke dalam tong sampah. Ironinya, secara purata, 4 billion kilogram makanan sudah cukup untuk menyelesaikan masalah kebuluran yang sedang melanda dunia sekarang.

Bagi masalah bencana alam seperti banjir dan kemarau, memang benar manusia tidak mampu untuk menghalang kesan langsung yang akan berlaku. Namun, bencana tersebut bukanlah sesuatu yang sentiasa berlaku setiap hari atau setiap bulan sehingga sentiasa mengganggu keseluruhan sistem pengeluaran makanan dunia. Bencana sebenarnya hanya memberikan kesan jangka pendek, bukan kesan jangka panjang dan biasanya masalah ini akan pulih dalam jangka waktu yang singkat. Bencana tidak pernah menjadi kesan berpanjang sehingga surutnya jumlah makanan dunia. Sebagai contoh, di Malaysia, fenomena tengkujuh dan banjir besar yang melanda beberapa buah negeri diMalaysia (bersifat sementara) setiap tahun, tidak pernah menyebabkan Malaysia berada dalam krisis makanan. Jika berlaku sekalipun masalah kekurangan, masalah ini sebenarnya bukanlah disebabkan oleh ‘kekurangan’ itu sendiri, tetapi kerana wujudnya aktiviti ‘penyorokan’ dan juga penimbunan oleh pembekal serta pengagihan yang tidak efisyen.

Begitu juga dengan permasalahan-permasalahan kekurangan bekalan makanan kerana penggunaannya untuk penghasilan bahan api bio. Fenomena ini sebenarnya lebih bersifat permasalahan pengurusan bekalan dan bukannya punca masalah dan perkara itu belum lagi mengambil kira aktiviti spekulasi harga komoditi bermotivasikan ketamakan di pasaran hadapan (future market) yang bertanggungjawab menaikkan harga minyak dan makanan secara tamak dan tidak realistik. 

Penyelesaian

Strategi pendekatan asas ini adalah berasaskan kekuatan-kekuatan asas yang terdapat dalam dunia. Kekuatan tersebut adalah: Tanah yang subur, sumber air yang melimpah-limpah, sumber tenaga manusia yang banyak dan kekayaan dari sumber alam semula jadi. Dengan tanah yang subur dan luas yang terdapat dalam dunia usaha pertanian akan difokuskan kepada meningkatkan pengeluaran pertanian berasaskan dua perkara – penggunaan baja dan peralatan moden serta perluasan sistem pertanian melalui penerapan nilai proaktif. Hal ini termasuk menggalakkan pembukaan tanah pertanian baru dan pemberian tanah secara percuma kepada mereka yang mampu mengerjakannya. Subsidi pertanian juga akan diberikan secara meluas bagi menggalakkan aktiviti pertanian yangberkesan.Selain itu, sistem pengangkutan yang efisyen juga perlu dibina agar pengedaran makanan menjadi lebih berkesan.

Dari aspek sumber air, tuhan telah mengurniakan jumlah air yang cukup besar kepada kaum manusia. Di dunia, terdapat lebih daripada 150 billion meter padu air permukaan (sungai,tasik dll.) dan ini tidak termasuk sumber bawah tanah (7734 billion meter padu) yang cukup untuk seluruh penduduk dunia! Yang pasti, dengan jumlah air yang sebegini banyak masalah pertanian pasti tidak akan muncul. Namun sumber ini perlu diuruskan dengan sempurna melalui pembinaan empangan dan saliran pertanian yang meluas.

Penutup

Krisis makanan dunia adalah satu krisis kemanusiaan yang wajib diselesaikan dengan secepat mungkin dan terbaik mampu. Langkah-langkah kerajaan Malaysia untuk mengadakan jumlah pengeluaran makanan perlu disahut oleh semua peringkat masyarakat Malaysia. Projek menjadikanSarawak sebagai Jelapang Padi Kedua Negara akan mampu kelak mengurangkan kebergantungan kita kepada beras import dari luar negara. Usaha kerajaan untuk memartabatkan profesion pertanian serta membuka lebih banyak lagi kawasan yang baru serta juga usaha kerajaan untuk meningkatkan kajian dalam bidang pertanian bio-teknologi negara wajar diberikan tumpuan yang lebih oleh semua pihak.

Natijahnya, cara untuk menyelesaikan krisis makanan pada peringkat negara, adalah dengan cara kita mengurangkan atau menamatkan terus pergantungan kita kepada pihak luar untuk sumber-sumber tersebut. Oleh itu, marlah kita menyahut seruan kerajaan untuk menjayakan semula sistem ‘Buku Hijau’ yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Kedua kita iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Kita juga mestilah mampu berdikari dalam semua aspek demi meniti arus pembangunan dunia dan cabarannya seperti yang sentiasa diterapka oleh mantan Perdana Menteri Keempat kita iaitu YBhg. Tun Dr. Mahathir Mohammad. Kita juga perlu mengambil serius pendekatan yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Kelima iaitu YBhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam usaha beliau untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang hasil bumi bertuah ini jika diusahakan dan juga usaha beliau untuk memartabatkan Industri Pertanian Negara melalui pendekatan moden seperti bio-teknologi dan juga pertanian secara moden dengan menggunapakai teknologi moden dan jentera peralatan yang canggih.

Akhir kata, marilah kita sentiasa mengingati pesanan kelima-lima Perdana Menteri kita bahawa kita perlu menghargai dan bersyukur dengan segala rezeki kita dan menghentikan pembaziran lantas memelihara dan memulihara alam sekitar kita, demi masa depan kita. Seperti kata Perdana Menteri kita, bahawa kegiatan ‘future trading’ bahan makanan ruji dunia seperti gandum dan beras mesti dihentikan serta merta oleh dunia. Hal ini adalah kerana jika dibiarkan berterusan para spekulator ini akan akhirnya membawa musibah seperti yang telah dilakukan oleh mereka kepada harga minyak dunia kepada harga pasaran makanan dunia pula. Kita tidak akan mewariskan alam sekitar kita kepada anak cucu kita kelak kerana sebenarnya kita hanya meminjamknya daripada anak cucu kita. Oleh itu, mari kita pulangkan semula yang terbaik kepada generasi mereka.

 Dalam dua tiga bulan yang lepas, masalah krisis makanan global telah semakin mendapat perhatian para pemerhati ekonomi dunia. Antara perkara yang menjadi perhatian adalah peningkatan harga makanan di pasaran global yang telahpun memberi kesan langsung terhadap harga pasaran bahan makanan tempatan serta masalah kebuluran yang telahpun mula muncul di beberapa wilayah berasingan di dunia. Di Mahalla El-Kobra, Mesir, ribuan rakyat yang marah dengan kenaikan harga barang, tetapi tiada kenaikan gaji, telah membakar bangunan kerajaan, mencuri di kedai-kedai dan melontar batu ke arah polis di bandar industri tersebut baru-baru ini. Penunjuk perasaan menyerbu majlis perbandaran, memecahkan tingkap dan melarikan komputer serta dokumen lain. Sekurang-kurangnya dua buah sekolah dibakar dan beberapa buah bank dirosakkan. Hampir 100 orang ditahan di seluruh Mesir ketika ribuan penduduk tidak pergi bekerja atau ke sekolah kerana membantah kenaikan harga makanan dan keadaan kerja yang semakin teruk [BH 07/04/08]. Beberapa hari sebelum itu, akhbar melaporkan bahawa para petani di Argentina melancarkan mogok yang telah masuk hari ke-21 dan mengadakan lebih 300 sekatan jalan di seluruh negara kerana membantah dekri Presiden pada 11 Mac lalu yang menaikkan cukai eksport kacang soya sehingga 45 peratus dan mengenakan duti baru ke atas eksport lain. Akhbar melaporkan bahawa ia adalah krisis makanan terburuk negara itu di mana Presiden Cristina Fernandez sendiri menyamakannya dengan protes tiga minggu pada 1976 sehingga mencetuskan kekacauan dan rampasan kuasa tentera [BH 03/04/07].

Sementara itu, di Filipina, kerajaan telah mengumumkan bahawa pemilik gudang dan peniaga yang didapati menyorokkan beras di Filipina akan didakwa atas tuduhan melakukan “sabotaj ekonomi” yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup. Setiausaha Kehakiman, Raul Gonzalez berkata, ejen-ejen kerajaan dengan bantuan polis sudah mula melancarkan serbuan terhadap peniaga beras haram di bandar Cebu, tengah negara ini [UM 04/04/08]. Di Thailand pula, walaupun ia merupakan antara negara pengeksport beras utama dunia, krisis kekurangan beras telah dilaporkan berlaku di penjara negara Gajah Putih itu. Harga beras yang semakin mahal dibimbangi boleh mencetuskan rusuhan di penjara berikutan kontraktor yang dilantik pihak berkuasa untuk membekalkan makanan kepada penghuni pusat tahanan dipercayai mengalami kerugian, kata ketua Jabatan Penjara, Wanchai Rujanawong. Akhbar The Bangkok Post melaporkan, pihak berkuasa penjara bimbang sekiranya pembekal menghentikan penghantaran beras ia boleh menyebabkan masalah kekurangan makanan di penjara yang seterusnya akan mencetuskan rusuhan di kalangan banduan [BH 06/04/08]. Terbaru, PBB memberi amaran peningkatan harga makanan yang berterusan boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan politik di seluruh dunia. Amaran PBB itu dinyatakan oleh John Holmes, Timbalan Setiausaha Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bencana PBB di sidang bantuan kemanusiaan di Dubai. Harga purata makanan meningkat sehingga 40 peratus sejak pertengahan 2007, katanya. “Harga makanan dunia meningkat dengan ketara. Kesan krisis makanan ke atas keselamatan juga tidak boleh dipandang ringan kerana rusuhan sudah meletus di beberapa negara”, tegasnya lagi [BH 09/04/08].

Sekilas Fakta

Makanan adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Apa yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu di atas dunia ini. Sekiranya tahun lepas, rakyat Malaysia menjadi kecoh apabila bekalan gula dan minyak masak berkurangan di pasaran, bayangkanlah bagaimana keadaannya kelak sekiranya anda dapati tiada lagi beras dan tepung di rak-rak kedai runcit dan juga pasar raya. Walaupun setakat ini Malaysia masih belum terkesan dengan fenomena ini, namun berdasarkan trend ekonomi dunia, hal ini langsung tidak mustahil melanda negara.

Masalah kekurangan makanan, yang pada mulanya bersifat setempat dan hanya sinonim dengan negara-negara dunia ketiga, kini menjadi semakin kronik apabila harga pasaran bekalan makanan di peringkat dunia juga turut meningkat dan mula memberi ancaman kesan yang lebih global termasuklah kepada negara-negara maju. Menurut statistik Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningkat sebanyak 75% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun. Harga gandum di pasaran dunia sahaja telah mencatatkan kenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji yang lain seperti beras dan kacang soya telah mencatatkan paras tertinggi. Kenaikan harga pasaran bijirin juga akan memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain secara langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanan tenusu. Sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis telah melanda merata tempat di dunia dan tidak lagi terbendung kepada negara-negara tertentu sahaja. Menurut Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih dari 73 juta orang di 78 negara yang bergantung kepada sumbangan makanan dari pertubuhan itu akan menghadapi pengurangan bekalan pada tahun ini [Sunday Herald 09/03/08].

Krisis ini telah memberikan kesan langsung yang menyengsarakan penduduk dunia di mana kita dapat saksikan ketidakpuasan hati terhadap apa yang sedang berlaku telah mula dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti tunjuk perasaan dan bantahan. ‘Rusuhan Tortilla’ telah berlaku di Mexico pada 1 Febuari 2007 apabila rakyat Mexico tidak berpuas hati dengan kenaikan harga tortilla (antara makanan ruji rakyat Mexico) yang meningkat sebanyak 400%. ‘Mogok Tempe’ selama tiga hari oleh para peniaga pula telah berlaku di Indonesia pada awal Januari lalu apabila harga bahan asas pembuatan tempe iaitu kacang soya meningkat dari sekitar Rp3,000 pada tahun 2007 kepada Rp7,400 pada tahun ini. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon, telah mengatakan bahawa di banyak negara terutamanya di Afrika, pengguna terpaksa membayar lebih 2 kali ke 3 kali ganda untuk makanan akibat dari kemelut ini [BBC 11/03/08]. Keadaan yang lebih dahsyat telah berlaku di India apabila dilaporkan lebih 25,000 petani telah membunuh diri mereka tahun lepas akibat dari kemurungan yang berpunca daripada kekurangan hasil pertanian dan peningkatan hutang [India Today]. Jumlah kematian ini tidak lagi termasuk dengan korban nyawa yang berpunca daripada masalah kebuluran dan kekurangan makanan yang selama ini telah lama melanda negara-negara miskin dan juga rakyat yang miskin di negara-negara yang kaya. Jika kita soroti sepintas lalu statistik yang ada, pada ketika ini terdapat lebih 854 juta manusia yang hidup dalam kelaparan [‘State of Food Insecurity in the World 2006’, PBB]. Dari jumlah ini, hampir 16,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari akibat dari masalah yang berkaitan dengan kekurangan makanan [‘Where and Why Are 10 Million Children Dying Every Year?’ The Lancet 361:2226-2234( 2003)].

Yang Dikatakan Menjadi Punca Krisis

Pakar ekonomi kapitalis tidak pernah kering dengan idea dan pandangan apabila berlaku permasalahan yang melibatkan ekonomi dunia. Begitu juga mereka tidak pernah lengang dengan seribu satu macam kaedah penyelesaian bagaimanakah caranya untuk mengatasi permasalahan yang timbul. Tetapi sebelum penyelesaian (yang tidak pernah menyelesaikan) di ambil, tabiat biasa Kapitalis adalah membincangkan ‘teori’ yang menjadi punca kepada krisis. Bagi Kapitalis, pada amnya, ada dua elemen asas yang menjadi perbahasan dalam isu krisis ini. Yang pertama adalah isu ‘jumlah bekalan makanan’ dan yang keduanya adalah isu ‘harga bahan makanan’. Kapitalis selalu menuding bahawa kerana kedua masalah inilah yang menyebabkan timbulnya kekangan bagi pengguna untuk mendapatkan bekalan makanan. Kedua-dua elemen ini juga masing-masing mempunyai faktor penyebab tertentu dan juga faktor penyebab yang dikongsi bersama yang dikatakan menjadi punca mengapa krisis makanan global berlaku.

Masalah pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan adalah antara alasan yang sering dijadikan ‘punca’ mengapa berlakunya kekurangan makanan di dunia. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melampaui tahap 9 bilion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kelangkaan (kekurangan) sumber-sumber yang ada seperti air, tanah ladang dan sebagainya. Kepesatan permintaan secara mendadak dari kawasan ekonomi yang sedang pesat membangun seperti di China dan India juga dikatakan menjadi penambah kepada ketidakseimbangan antara pengeluaran makanan dunia (supply) dan permintaan (demand) yang memerlukannya. Contohnya (sebagaimana dilaporkan), tabiat makan penduduk China telah berubah di mana secara per kapita, penduduk Cina menghabiskan 50kg daging pada tahun 2007 berbanding hanya 20kg pada tahun 1985.

Keadaan yang ada dikatakan menjadi semakin rumit apabila faktor pengeluaran juga telah terjejas akibat bencana alam, pencemaran dan perubahan iklim dunia. Australia dikatakan mengalami kemarau terburuk pada tahun lepas menyebabkan hasil gandum negaranya telah menyusut sebanyak 60%. Hasil tuaian dari China juga telah menyaksikan penyusutan sebanyak 10% sepanjang 7 tahun yang lalu. Faktor-faktor ini dikatakan menjadi sebab secara langsung kurangnya bekalan makanan yang boleh diperolehi oleh penduduk dunia.

Pada masa yang sama, faktor kenaikan harga barang makanan juga dikatakan menggandakan lagi kesan yang berlaku. Ini kerana apabila harga barang makanan meningkat, maka semakin sukar bagi kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk mendapatkan makanan tersebut selari dengan teori mekanisma harga yang menjadi mekanisma asas pengagihan dalam sistem ekonomi kapitalis. Kenaikan harga barang dagangan ini pula dikatakan berpunca daripada kenaikan harga minyak dunia. Secara langsung, kenaikan harga minyak telah memaksa kenaikan kos bagi mengeluar dan memasarkan makanan (kos untuk menjana tenaga bagi menggerakkan kilang, jentera, kos pengangkutan dan sebagainya). Peningkatan harga minyak juga dilihat menjadi penyebab kenaikan kos baja sekali gus melonjakkan harga bahan makanan di pasaran.

Di samping itu, ‘kegilaan’ terhadap penghasilan bahanapi bio bukan sahaja dikatakan telah melambungkan harga sumber makanan yang berkaitan, malah sekali gus mengurangkan jumlahnya dalam pasaran untuk keperluan pemakanan. Pada tahun lepas sahaja, suku daripada jumlah tuaian jagung Amerika Syarikat telah digunakan untuk penghasilan etanol (antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan bahanapi bio) yang mana jumlah ini pastinya memberikan impak yang besar kerana Amerika Syarikat menyumbang kepada 60% pasaran jagung dunia.

Begitulah antara sebab-sebab popular yang sering diutarakan oleh pakar ekonomi Kapitalis. Namun sebelum kita terus membuat kesimpulan dan bertindak mencari penyelesaian, kita teliti dulu akan realiti ‘punca-punca’ yang dinyatakan, sama ada ia adalah punca yang hakiki atau hanya merupakan ‘justifikasi’ kerana mahu menuding kesalahan kepada yang lain, sekali gus dapat menutup kebobrokan ‘sistem Kapitalis’ itu sendiri.

Hakikatnya, ada faktor-faktor yang diperkatakan tadi adalah bertentangan dengan realiti yang ada. Hairan Bin Ajaib mengapakah boleh berlaku kekurangan bekalan makanan apabila tahap pengeluaran makanan dunia sebenarnya bertambah melebihi tahap pertambahan penduduk. Jika dibandingkan antara jumlah penduduk pada tahun 1961 dan 2005, kita dapati jumlah penduduk dunia telah bertambah sebanyak 2.1 kali ganda. Tetapi jika kita bandingkan tahap pengeluaran makanan antara tahun yang sama, kita dapati pengeluaran makanan dunia telah bertambah 2.8 kali ganda (berdasarkan data terkini dari World Resources Institute). Ini bermakna, jumlah makanan yang telah dihasilkan untuk setiap individu telah bertambah (semakin banyak) saban tahun. Oleh yang demikian, rasional bahawa antara punca krisis bekalan makanan adalah kerana bertambahnya bilangan penduduk dunia adalah satu pena’akulan yang meleset. Pada dasarnya, mereka yang memberikan alasan ini hanyalah meng‘kakak-tua’kan teori yang dikemukakan oleh Thomas Malthus dari Britain dalam kurun ke 18 di mana beliau menulis sebuah buku bertajuk ‘An Essay on the Principle of Population as it Affects the Future Improvement of Society’ pada tahun 1798. Di dalamnya dikatakan bahawa populasi manusia akan bertambah secara eksponen manakala pertambahan bahan makanan hanyalah secara aritmetik. Jika teori ini betul, maka beberapa ratus tahun selepas zaman Malthus, sebahagian populasi manusia akan mengalami kebuluran dan kekurangan makanan. Perlu diperhatikan bahawa Malthus menulis bukunya ketika Britain mempunyai populasi 11 juta penduduk dan pada kurun 21, populasi penduduk Britain telah bertambah sebanyak 59 juta. Namun begitu, tidak pula terdapat mana-mana kawasan di Britain yang mengalami krisis kekurangan makanan atau pun kebuluran yang serius, walaupun Britain pada hakikatnya mempunyai keluasan tanah yang tidak begitu besar berbanding dengan negara-negara lain di dunia. Justeru, pendapat Malthus hanyalah benar dari segi pertambahan penduduk dunia namun teori beliau ternyata salah dalam meramal bahawa pertumbuhan makanan tidak akan dapat menampung pertambahan penduduk dunia.

Untuk isu perubahan tabiat makan penduduk dunia yang dikatakan menjadi punca pertambahan permintaan makanan pula, realitinya harus dikaji dengan lebih teliti lagi. Jika kita tanya, benarkah penduduk dunia zaman sekarang makan lebih banyak berbanding dengan penduduk dunia puluhan atau ratusan tahun dahulu, walhal saiz perut manusia lebih kurang sama sahaja? Secara logiknya, keperluan makanan untuk bekalan tenaga manusia seharusnya menjadi semakin berkurangan oleh kerana manusia telah semakin banyak menggunakan mesin dan jentera bagi melakukan tugas-tugas, berbanding orang dahulu yang semata-mata bergantung kepada tulang empat kerat untuk bekerja. Jadi adakah benar manusia sekarang makan lebih banyak atau sebenarnya manusia zaman sekarang ‘membazir’ lebih banyak? Jika dilihat laporan kajian tentang pembuangan sisa makanan penduduk dunia, kenyataan kedua sebenarnya lebih tepat. Sebagai contoh, setiap tahun sebanyak lebih daripada 160 bilion kilogram makanan telah disediakan di Amerika Syarikat. Daripada jumlah ini, hampir 45 billion kilogram (termasuk sayuran segar, buah-buahan, susu dan produk bijirin) telah dibuang ke dalam tong sampah. Ironinya, secara purata, 4 billion kilogram makanan sudah cukup untuk menyelesaikan masalah kebuluran yang sedang melanda dunia sekarang. Jadi, logikkah tabiat pemakanan manusia dikatakan menjadi punca kepada krisis kekurangan makanan?

Bagi masalah bencana alam seperti banjir dan kemarau, memang benar manusia tidak mampu untuk menghalang kesan langsung yang akan berlaku. Namun bencana tersebut bukanlah sesuatu yang sentiasa berlaku setiap hari atau setiap bulan sehingga sentiasa mengganggu keseluruhan sistem pengeluaran makanan dunia. Bencana sebenarnya hanya memberi kesan jangka pendek, bukan kesan jangka panjang dan biasanya masalah ini akan pulih dalam jangka waktu yang singkat. Bencana tidak pernah menjadi kesan berpanjangan sehingga surutnya jumlah makanan dunia, sebagaimana didakwa oleh Kapitalis. Tambahan pula, di kebanyakan negara, mereka biasanya sudah pun menyediakan stok makanan yang mencukupi untuk menghadapi kesan jangka pendek yang ditimbulkan dari bencana alam ini. Banyak bahagian di dunia ini yang dilanda bencana alam sejak ratusan tahun dahulu lagi, namun krisis kekurangan bekalan tidak pula timbul, logikkah ini dikatakan sebagai punca? Di Malaysia sendiri sebagai contoh, fenomena tengkujuh dan banjir besar yang melanda beberapa buah negeri di Malaysia (yang bersifat sementara) setiap tahun, tidak pernah menyebabkan Malaysia berada di dalam krisis makanan. Jika wujud pun masalah, ia adalah masalah pengagihan yang tidak betul yang dilakukan oleh kerajaan yang menyebabkan bekalan tidak sampai kepada mangsa. Jika berlaku sekalipun masalah kekurangan, ia sebenarnya bukanlah disebabkan oleh ‘kekurangan’ itu sendiri, tetapi kerana wujudnya aktiviti ‘penyorokan’ dan juga penimbunan oleh pembekal serta pengagihan yang tidak efisien.

Begitu juga dengan permasalahan kekurangan bekalan makanan kerana penggunaannya untuk penghasilan bahanapi bio. Ia sebenarnya lebih bersifat permasalahan pengurusan bekalan dan bukannya punca masalah. Ini belum lagi mengira aktiviti spekulasi harga komoditi bermotivasikan ketamakan di pasaran hadapan (futures market) yang bertanggungjawab menaikkan harga minyak dan makanan secara tidak realistik. Yang perlu difahami di sini adalah, masalah pengurusan bekalan yang diperkatakan adalah berhubung kait dengan ‘sistem’ yang diguna pakai untuk menguruskan ekonomi di dalam sesebuah negara. Ini kerana, perbezaan pandangan hidup (ideologi) pemerintah dan sistem ekonomi yang mereka anuti/terapkan akan membezakan tahap penilaian mereka (pemerintah) dalam membuat polisi untuk menentukan apakah yang perlu disimpan, apakah yang perlu dihasilkan, apakah yang perlu dibelanjakan dan sebagainya. Jika benak pemerintah didominasi pemikiran kapitalisme yang sememangnya rakus dalam mengambil hak rakyat, maka inilah yang sebenarnya menjadi punca kepada segala kerosakan dan menyebabkan berlakunya krisis. Ini adalah kerana, ‘aqidah manfaat’ yang begitu kuat, yang dianuti mereka, menyebabkan para pemerintah Kapitalis ini hanya berminat untuk ‘membuncitkan’ perut masing-masing sahaja, tanpa mempedulikan kesusahan dan penderitaan rakyat. Nafsu serakah mereka yang berkuasa, yang mengaut sebanyak mungkin kekayaan negara, dan perangai mereka yang hanya ‘memberi makan’ kepada anak bini dan kroni, inilah yang sesungguhnya membawa manusia kepada krisis yang sedang dihadapi sekarang. Dengan sistem pemerintahan dan hawa nafsu Kapitalis ini, ia bukan sahaja menjadi punca kepada kekurangan makanan, malah punca kepada segala keburukan yang ada. 

Penyelesaian Dari Islam

Setelah menyedari akan pembohongan, kebobrokan dan kejelekan sistem ekonomi Kapitalis, ke manakah lagi akan kita tuju dalam menghadapi segala malapetaka yang menimpa ini? Sebahagian besar pemerintah dan juga umat Islam menolak sistem Sosialis atau sistem komunis untuk diterapkan di dalam kehidupan kerana ‘terasa’ akan kesesatan dan kekufuran yang dibawanya, namun dalam masa yang sama, mereka sebenarnya mengambil dan mengamalkan sistem yang lebih buruk – sistem Kapitalis, yang juga adalah sesat dan kufur. Malangnya mereka ‘tidak terasa’ akan kesesatan dan kekufuran yang dibawa oleh sistem Kapitalis kerana terpesona dengan ‘manfaat’ yang mereka nikmati di bawahnya.

Menurut Islam, makanan adalah salah satu keperluan asas yang perlu dijamin oleh negara bagi setiap warganegara Daulah. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab seorang Khalifah untuk memastikan bahawa bahan makanan dapat sampai ke setiap mulut manusia yang bernaung di bawah Khilafah. Daulah Khilafah, apabila tertegak nanti, akan menyusun strategi bagi memastikan bahawa permasalahan makanan tidak akan timbul. Strategi Daulah ini adalah berasaskan 4 kekuatan yang secara tabi’i terdapat di dalam dunia Islam. Empat kekuatan tersebut adalah; 1) tanah yang subur, 2) sumber air yang melimpah-limpah, 3) sumber manusia yang besar, 4) kekayaan dari sumber alam semulajadi. Dengan tanah yang subur dan luas yang terdapat di dalam dunia Islam, politik pertanian Daulah akan difokuskan kepada meningkatkan pengeluaran pertanian berasaskan dua perkara - penggunaan baja dan peralatan moden serta perluasan lahan pertanian melalui penerapan hukum syarak yang bersangkutan dengan hukum tanah pertanian. Ini termasuk menggalakkan pembukaan tanah pertanian baru (ihya’ al-ardh) dan pemberian tanah secara percuma kepada mereka yang mampu mengerjakannya. Subsidi pertanian juga akan diberikan dengan meluas bagi menggalakkan aktiviti pertanian yang berkesan. Selain itu, sistem pengangkutan yang efisien juga perlu dibina agar pengedaran makanan menjadi lebih berkesan.

Dari aspek sumber air, Allah telah mengurniakan jumlah air yang cukup besar kepada kaum Muslimin. Di dunia Islam, terdapat lebih dari 150 billion meter padu air permukaan (sungai, tasik dll.) dan ini tidak termasuk sumber bawah tanah (7734 billion meter padu!) yang cukup untuk seluruh penduduk dunia! Apa yang pasti, dengan jumlah air yang sebegini banyak, masalah pertanian pasti tidak akan muncul. Daulah akan memastikan, melalui penerapan hukum syarak, bahawa sumber ini diuruskan dengan sempurna melalui pembinaan empangan dan saliran pertanian yang meluas.

Dari aspek sumber manusia, kini, terdapat lebih 48 juta kaum Muslimin yang menjalankan aktiviti pertanian. Bagi memastikan setiap individu di dalam Khilafah mendapat keperluan asasnya, Daulah akan memberikan peluang dan galakan kepada orang-orang miskin dan tidak berkemampuan untuk bertani dengan memberikan tanah lahan secara percuma, subsidi dan segenap bantuan kepada mereka.

Kekuatan keempat, yakni kekayaan sumber alam semulajadi merupakan aspek yang paling menonjol di dalam dunia Islam. Untuk memberikan gambaran akan kekayaan yang ada di dunia Islam, Amerika, dalam kerakusannya, telah mendapat keuntungan minyak dari Arab Saudi sahaja sejumlah 86 trillion dolar!!! Bayangkan kekayaan yang ada di seluruh dunia Islam!! Sekiranya jumlah ini dibahagikan kepada seluruh kaum Muslimin, setiap seorang layak mendapat USD66,000! Bukan ini sahaja, dunia Islam ini dipenuhi dengan laluan-laluan strategi dan ini juga boleh dieksploitasi untuk mendapat keuntungan. Apa yang diperlukan hanyalah seorang Khalifah yang ikhlas yang akan menguruskan jumlah kekayaan yang besar ini secara efektif dan efisien bagi memastikan umat Islam dan bukan Islam yang tinggal di dalam Daulah hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Pada masa yang sama, hukum-hukum yang berkaitan untuk memastikan setiap individu mendapat sumber makanan seperti hukum nafkah, zakat dan sebagainya perlu ditegakkan secara menyeluruh agar tiada yang ketinggalan dalam hak mereka untuk mendapatkan makanan. Sekiranya berlaku bencana, Khalifah juga wajib memastikan halangan-halangan dapat diatasi dalam pengedaran makanan kepada yang memerlukan.

Para khalifah terdahulu telah memerintahkan agar kawasan-kawasan pertanian dibangunkan dan dimajukan dengan sistem pengairan dan sebagainya seperti yang dilakukan di wilayah Basra (Iraq) dan Sind (Pakistan). Dana yang berlebihan di dalam Baitul Mal juga telah dibelanjakan oleh Daulah pada pemerintahan Umar Abdul Aziz untuk tujuan pembangunan pertanian. Pada era pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab, Madinah telah dilanda kemarau dan mengalami kekurangan makanan. Pada waktu itu, Khalifah Umar telah memerintahkan agar bekalan makanan dibawa masuk ke Madinah dari wilayah-wilayah lain yang tidak terkesan seperti dari Mesir dan Syria. Pada masa yang sama, perbendaharaan negara dibelanjakan untuk membeli dan menyediakan makanan kepada penduduk Madinah. Pendekatan yang sama juga telah dibuat oleh Khalifah Umar Abdul Aziz sewaktu Jazirah Arab telah dilanda kemarau yang teruk. Usaha-usaha ini dilakukan atas dasar memenuhi tuntutan hukum syarak agar keperluan makanan bagi setiap manusia di dalam Daulah dapat dipenuhi setiap masa, dan bukannya kerana ingin mendapat keuntungan dari suatu aktiviti ekonomi.

Khatimah

Krisis makanan dunia adalah satu krisis kemanusiaan yang wajib diselesaikan menurut ketentuan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maha Suci Allah yang telah menurunkan agama Islam yang kita anuti ini untuk menyelesaikan segenap permasalahan manusia, sehingga tidak ada satu masalah pun yang tidak boleh diselesaikan oleh Islam. Bagi sesiapa yang mengi’tiqadkan bahawa sistem ekonomi Islam tidak mampu menyelesaikan masalah, maka sesungguhnya telah kufurlah mereka. Bagi sesiapa yang tidak mahu menerapkan sistem ekonomi Islam tetapi masih meyakini bahawa ia boleh menyelesaikan masalah, maka sesungguhnya telah zalim dan fasiklah mereka. Bagi sesiapa yang tidak berusaha untuk menerapkan sistem ekonomi Islam untuk menggantikannya dengan sistem Kapitalis yang kufur ini, maka telah berdosalah mereka. Sesungguhnya Allah selaku Pencipta manusia, alam dan kehidupan, Dia Maha Mengetahui akan kelemahan manusia dan alam ciptaanNya dan Dia telah pun memberikan penyelesaianNya kepada kita semua. Rasulullah dan para Khalifah Allah yang terdahulu telah pun menerapkan hukum Allah dalam pemerintahan mereka dan hasilnya, mereka berjaya keluar dari segala masalah dengan rahmat Allah.

Sebagaimana telah dijelaskan, beginilah caranya Islam mengatur urusan manusia termasuklah dalam mengatur urusan makan dan minum. Bagaimanapun, mekanisma-mekanisma yang dinyatakan di atas menjadi rumit dan amat sulit sekali untuk dilaksanakan dengan adanya pemimpin sekular dalam konteks negara bangsa yang ada sekarang. Sebagai contoh, untuk mendapatkan bantuan makanan dari Mesir untuk umat Islam di Somalia atau Indonesia secara percuma, atau mendapat bantuan makanan dari Arab Saudi atau Malaysia kepada penduduk Islam Afrika secara percuma, semua ini hanyalah umpama mimpi di siang hari. Di sinilah kita sekali lagi dapat melihat bagaimana pemimpin sekular dan negara-bangsa yang ada pada masa sekarang telah menjadi penyekat, pelemah malah penghancur kepada kekuatan Islam dan pembawa malapetaka kepada umat Islam itu sendiri khususnya dan manusia amnya. Sesungguhnya hanya dengan adanya seorang Khalifah dan Daulah Islam yang satu untuk semua umat Islam, maka barulah mekanisma ini tampak kekuatannya dan akan terbukti keberkesanannya. Tanpanya, umat Islam di negara-negara bangsa yang ada kini terus merintih dan bergenang air mata darah menyaksikan kemelut yang melanda. Atas dasar inilah, Hizbut Tahrir berkali-kali mengingatkan umat Islam di seluruh dunia agar terus istiqamah dalam menjalankan usaha untuk mengembalikan Daulah Khilafah yang akan menyelesaikan segala permasalahan yang sedang kita hadapi, sama ada berupa masalah pemakanan, maruah, nyawa mahupun darah. Bersatulah dan bergeraklah wahai saudaraku agar Daulah Khilafah ala minhaj nubuwwah kembali ke pangkuan kita secepat mungkin.

Karangan Kelima

Gejolak krisis makanan dunia mula dirasai sejak awal April lalu apabila rakyat di beberapa negara dunia seperti Haiti, Filipina dan Mesir bangkit merusuh dan berdemonstrasi secara besar-besaran akibat tekanan kekurangan bekalan makanan asas. Dominique Strauss-Kahn, Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menyifatkan kenaikan harga bekalan makanan yang mencetuskan rusuhan dan tunjuk perasaan di negara-negara tersebut sebagai suatu yang berkuasa mencetuskan pelbagai krisis sosial dan krisis ekonomi yang lebih buruk. Hal ini termasuklah kejatuhan sesebuah kerajaan, peperangan dan risiko ancaman keselamatan.

Josette Sheeran (2008), Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP) melahirkan kebimbangan terhadap purata kenaikan harga beras sehingga dua kali ganda di seluruh dunia. Pengarah Program Pemakanan Sedunia (WFP) Asia, Anthony Banbury pula membentangkan statistik yang lebih membimbangkan. Menurutnya kenaikan harga gandum mencatatkan sehingga 75 peratus berbanding 60 peratus tahun lalu. Statistik Bank Dunia (2008) pula memaparkan bahawa harga makanan telah meningkat 83 peratus sejak tiga tahun lepas.

Fenomena ini menghumban kira-kira 800 juta penduduk dunia ke gaung derita kebuluran dan sengsara kelaparan. Sebenarnya kecenderungan berlakunya krisis makanan global ini telah mula dikesan oleh Pertubuhan Pertanian dan Makanan (FAO) sejak awal alaf 2000.  Pertubuhan itu menganggarkan jumlah penduduk kelaparan di dunia bagi tempoh 2002 hingga 2004 berjumlah 862 juta termasuk 830 juta dari Negara Dunia Ketiga. Selain itu kira-kira 2 bilion daripada 6.6 bilion penduduk dunia lagi berisiko tinggi mendapat pelbagai penyakit akibat kekurangan Vitamin A dan mikro nutrien yang lain.

NEGARA DUNIA KETIGA

Sejak awal tahun ini, harga bekalan bahan makanan melambung tinggi berikutan penyusutan stok makanan seperti beras, gandum dan bijirin di negara pengeluar. Hal ini mengakibatkan kira-kira 36 buah negara berdepan dengan krisis bekalan makanan yang serius. Sebanyak 21 daripada negara-negara itu terletak di rantau Afrika. Menurut jangkaan FAO lebih banyak negara termasuk di benua Asiadan Negara Dunia Ketiga serta sebahagian Amerika Tengah bakal berdepan dengan krisis kekurangan bekalan makanan asas.

            Negara Dunia Ketiga merujuk negara-negara sedang membangun yang sering dikaitkan dengan stigma kemiskinan dan kemunduran. Negara Dunia Ketiga juga amat sinonim dengan sektor pertanian yang digiatkan oleh faktor-faktor geostrategik dan kekayaan biodiversiti. Negara Dunia Ketiga terdiri daripada  187 buah  negara.  Negara ini termasuklah negara-negara di Asia dan Afrika.

Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Haruhiko Kuroda menyatakan sebahagian besar rakyat Asia yang membentuk dua pertiga daripada penduduk dunia diancam kebuluran akibat kemiskinan. Fakta semasa juga menunjukkan bahawa 1.7 bilion penduduk dunia berpendapatan kurang RM6 sehari.

FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA KRISIS MAKANAN

Hakikatnya, krisis makanan global ini tidak berlaku secara tiba-tiba. Krisis ini telah bercambahbiak semenjak lama dahulu akibat pelbagai faktor. Menurut Mohd. Shukri Abdullah (1989) kepesatan pertumbuhan penduduk, daya produktiviti sektor pertanian yang rendah dan pola agihan makanan yang tidak sekata antara beberapa kelompok tertentu telah membawa kepada krisis kekurangan bekalan makanan. Dalam konteks Negara Dunia Ketiga, pengeluaran makanan per kapita pada keseluruhannya amat sedikit iaitu kurang daripada 1% setahun.

Dasar pembangunan yang tidak seimbang juga menyumbang kepada tercetusnya krisis kekurangan makanan. Dalam konteks Asia Tenggara, Setiausaha Pertanian Filipina, Arthur Yap, menyifatkan bahawa penyusutan bekalan makanan disebabkan oleh transformasi ekonomi negara-negara di rantau ini daripada sektor pertanian kepada perindustrian. Penekanan berlebihan kepada sektor perindustrian telah mengkesampingkan sektor pertanian. Hal ini mengakibatkan produktiviti pertanian termasuk makanan berkurangan.

Mentaliti pemimpin kerajaan dan rakyat sesetengah negara yang menganggap kemajuan harus diraih menerusi sektor industri semata-mata turut menyumbang ke arah kelembapan perkembangan pertanian. Persepsi negatif bahawa sektor pertanian hanyalah sektor kelas ketiga dan sinonim dengan negara-negara mundur juga memburukkan lagi keadaan ini. Kejadian malapetaka semula jadi akibat perubahan iklim dunia yang kerap berlaku mutakhir ini turut menjejaskan hasil tanaman negara-negara pengeluar sepertiIndonesia dan negara-negara Asia Selatan. Hal ini juga memberi kesan ke atas kemerosotan bekalan makanan sedangkan penduduk dunia terus bertambah.

Ban Ki-moon, Setiausaha Agung PBB pula menjelaskan krisis makanan global berpunca daripada beberapa faktor seperti perubahan iklim, kemarau panjang, perubahan corak penggunaan di negara-negara membangun utama dan tanaman digunakan untuk mengeluarkan bahan bakar bio. Contohnya, Negara Kesatuan Eropah memperuntukkan lebih dari 3 juta tan atau 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran minyak biji sesawi mereka untuk pengeluaran biodiesel. Amerika Syarikat juga mengambil langkah serupa dengan menggunakan sebahagian besar pengeluaran minyak jagung dan soya mereka sebagai bahan mentah untuk penjanaan bahan bakar biologi. 
Tindakan mereka ini mengheret dunia kepada kekurangan bekalan minyak makanan dan bahan makanan haiwan ternakan.

Namun, tidak semua aktiviti penghasilan bahan bakar biologi merencatkan bekalan bahan makanan. Malaysia, umpamanya berdasarkan perangkaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada tahun 2007, hanya sekitar 128,193 tan atau 0.81 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran minyak sawit di negara ini dimanipulasi untuk menghasilkan bahan bakar biologi. Hanya 95,013 tan bahan bakar biologi daripada jumlah tersebut dieksport ke luar negara. Jumlah ini adalah sangat kecil untuk memberi sebarang impak negatif ke atas krisis makanan global.

Sesungguhnya kekurangan penawaran bahan makanan dan peningkatan permintaannya dalam pasaran telah melonjakkan harga bekalan makanan. Dalam masa yang sama pendapatan para penduduk dunia terutamanya Negara Dunia Ketiga pula semakin mengecil. Implikasinya masyarakat dunia terpaksa bergelut hebat dengan kemelut kekurangan makanan ini.

Teknologi juga haruslah sentiasa perlu dipermajukan bagi meningkatkan proses penyediaan makanan di dalam negara kita.Usaha yang dapat dilakukan untuk memajukan sektor pertanian ini boleh dilaksanakan dengan bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani . Kementerian ini bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pertanian termasuk perikanan dan ternakan. Kementerian ini juga memberi peruntukan yang besar untuk membuat penyelidikan dalam sektor tertentu. Contohnya, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI). Mardi ditubuhkan dengan matlamat memajukan dan menggiatkan teknologi bersesuaian yang baru dan yang berkait dalam industri pertanian di Malaysia. Teknologi ini bertujuan meningkatkan penghasilan dan keberkesanan denagn memodenkan sektor pertanian selain membantu meningkatkan pulangan  petani. Selain Mardi, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga berperanan membantu dalam sektor pertanian khususnya kelapa sawit. MPOB di pertanggungjawabkan untuk meneraju dan membangunkan industri sawit negara. Industri ini merupakan bahan eksport utama ke luar negara contohnya ke Amerika Syarikat. Hasil daripada  penyelidikan ini juga, penemuan teknologi dan inovasi baru telah dikomersialkan. Contohnya penggunaan biojisim dan biodiesel, penjenteraan ladang serta kawalan serangga dan penyakit. Oleh itu, bantu kementerian ini amat diperlukan.

      Seterusnya, strategi pemasaran untuk memperkenalkan jentera-jentera pertanian, bahan pertanian, baja organik serta benih-benih ynag telah diinovasikan untuk menghasilkan pokok yang bervariasi contohnya orkid. Pameran Pertanian, Horikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2006  (MAHA 2006) merupakan pameran pertanian yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia di (MARDI) Serdang Selangor. Lebih seratus jenis orkid di pamerkan pada pameran pertanian itu termasuk dua spesis hybrid orkid baru yang dilancarkan iaitu  Dendrobium dan Ascorahnis . Spesis ini amat cantik dan mempunyai saiz bunga yang lebih  besar serta mampu bertahan sehingga tiga bulan. Dengan adanya pameran seperti ini Malaysia dapat menarik perhatian sektor pertanian luar negara untuk bersama-sama memajukan bidang pertanian. D samping itu, pameran ini dapat membantu hubungan dua hala Malaysia dengan negara lain untuk mengembangkan bidang ynag berkaitan dengan pertanian seperti perikanan dan ternakan. Pertanian hiliran juga boleh dilakukan untuk memasarkan sesuatu produk yang lebihlama ke pasaran antarabangsa. Contohnya, buah pisang ialah buah yang cepat busuk dan tidak tahan lama. Hal ini dapat diatasi dengan menghasilkan makanan segera seperti kerepek pisang yang bukan sahaja mempunyai tempoh pasaran ynag lebih lama tetapi juga harga yang tinggi. Oleh itu, para petani yang sedia ada dan yang bakal menceburi bidang ini seharusnya mempunyai pengetahuan yang tinngi  tentang strategi pemasaran ynag berkasan.

            Teknologi moden untuk menggandakan hasil pengeluaran sesuatu produk boleh dilaksanakan dengan menggabungkan teknologi sains dan pertanian. Kaedah ini dipanggil sebagai bioteknologi.bioteknologi menghasilkan manfaat ketara  seperti pengurangan kos pengeluaran, peningkatan hasil pertanian, pengurangan penggunaan racun perosak dan racun herba. Pelbagai kaedah digunakan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran makanan. Contohnya, kaedah pembiakbakaan yang sering digunakan dalam menghasilkan kelapa sawit yang lebih berkualiti. Kelapa sawit sepsis Tenera dihasilkan melalui pembiakbakaan dua sepsis kelapa sawit iaitu sepsis dura dan pisifera. Manakala kawalan biologi juga dapat membantu meningkatkan hasil produk. Kaedah ini sering digunakan di kawasan ladang kelapa sawit bagi mengawal  kerosakan buah oleh tikus. Mereka lazimnya menggunakan ular atau burung hantu untuk memakan tikus tersebut. Kaedah ini merupakan kaedah ynag mesra alam dan tidak mencemarkan alam sekitar kerana tidak melibatkan bahan kimia dan hanya menggunakan sifat semula jadi haiwan ynag berkenaan. Dengan itu, penggunaan teknologi moden amat diperlukan dalam dunia yang kian berkembang.

        

     Usaha lain yang dapat dilakukan ialah bantuan kewangan dan perundingan. Pihak bank pertanian khususnya boleh memberi pinjaman kepada para petani untuk memulakan projek pertanian mereka. Pinjaman yng dibuat dapat membantu membeli jentera bagi menggantikan tenaga manusia dan membeli benih yang lebih  bermutu .skim pinjaman yang berkadar faedah rendah perlu  disediakan oleh bank, terutamanya Agrobank untuk pekabun kecil. Sebagai contoh, Agrobank telah menawarkan  Modal Usahawan 1 Malaysia kepada petani kita untuk mengusahakan industry kecil dan sederhana IKS yang berasaskan pertanian. Bak kata pepatah, ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras.  Dengan adanya skim mikro, pekebun kecil dapat megusahakan pertanian atau penternakansecara komersial dan saintifik dan berupaya menjalankan iks.oleh itu, pihak bank amat membantu dalam mengubah hidup para petani kita.

      Tuntasnya, kata orang tua-tua, genggam bara api biar sapai jadi arang.semua pihak yang terlibat perlu menggembleng tenaga untuk memajukan sektor ini. ibu bapa harus memainkan peranan untuk memberi pendedahan tentang kelebihan bidang pertanian kepada anak –anak sejak mereka kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa juga boleh menyemai sikap cinta akan pertanian dalam diri anak-anak dengan membawa mereka ke pameran pertanian seperti MAHA yang dijalankan setiap dua tahun untuk memdedahkan anak-anak dalam dunia pertanian yang menguntungkan. Kita juga harus mengubah persepsi masyarakat kita bahawa bidang pertanian ini amat menguntungkan dan bukannya memenatkan sahaja..bak kata pujangga Aminuddin Baki, ayam dikepuk mati kelaparan,itik di air mati kehausan. Kiasan tersebut memberikan tamparan pedas bahawa apa-apa bidang sekalipun jika tidak  diusahakan dengan segala ikhtiar dan kebijaksanaan, kita tidak akan dapat mengubah hidup kita.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tajuk Karangan Tentang Kepentingan Unsur-Unsur Kebudayaan.

• karangan kedua. Kini, warisan budaya tradisional menghadapi ancaman kepupusan. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita. Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri.      Budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, pakaian tradisional pelbagai kaum yang unik dan berwarna-warni. Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi da pekerti masyarakat Malaysia. Nilai murni yang ditunjukkan dalam majlis korban dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran menunjukkan kita prihatin terhadap orang lain dan bersikap mesra. Banyak orang asing terkejut kerana rakyat kita bebas mengunjungi pemimpin kita pada hari kebesaran. Penghantaran kuih-muih dan saling mengunjungi pada hari kebesaran menunju

Tajuk Karangan Tentang Stress.

• Karangan Kedua Stress dapat menjadi pendorong kepada sesuatu tindakan dan pencapaian serta boleh menimbulkan masalah kesihatan. Stres merupakan hasil interaksi antara peristiwa persekitaran dengan individu. Paras stress yang dihasilkan akan bergantung kepada sumber tekanan dan cara individu tersebut bertindak balas. Stres member kesan terhadap emosi seseorang. Emosi seseorang itu akan terganggu dan perasaan risau sentiasa menghantuinya. Selain itu, seseorang itu mengalami ketegangan fikiran dan tidak dapat membuat keputusan dengan baik. Stres juga menyebabkan seseorang itu berasa seolah-olah otaknya sentiasa letih dan penat berfikir.Stres mengubah sikap seseorang itu daripada seorang yang sabar kepada cepat marah dan sentiasa mengeluh. Kadang-kadang, seseorang itu juga menunjukkan perasaan runsing, kecewa dan mudah menangis. Stres yang tidak terkawal akan menyebabkan perasaan cemas, sensitive,murung,sukar tidur dan hilang selera makan. Stres juga mendatangkan ancaman penyakit kepa

Karangan Masalah Pengangguran & Langkah Mengatasinya.

Isu pengangguran telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama golongan siswazah. Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja melibatkan siswazah tetapi golongan lain juga. Jadi, apakah punca-punca wujudnya pengangguran dan apakah cara-cara mengatasinya. Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke negara ini. Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama golongan siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap menjadi satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan umum negara diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan. Jadi, apakah punca-punca yang medorong isu ini berlaku. Sudah pasti punca utama berkaitan dengan keadaan ekonomi negara yang merudum. Situasi ini menyebabkan banyak syarikat atu kilang terpaksa gulung tikar dan membuang pekerjanya. Bukan sahaja mereka dibuang kerja tetapi mereka juga sukar untuk memperoleh kerja dalam tempoh yang