Langkau ke kandungan utama

Tajuk Karangan Tentang Kepentingan Unsur-Unsur Kebudayaan.

karangan kedua.

Kini, warisan budaya tradisional menghadapi ancaman kepupusan. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita. Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri.

     Budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, pakaian tradisional pelbagai kaum yang unik dan berwarna-warni. Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi da pekerti masyarakat Malaysia. Nilai murni yang ditunjukkan dalam majlis korban dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran menunjukkan kita prihatin terhadap orang lain dan bersikap mesra. Banyak orang asing terkejut kerana rakyat kita bebas mengunjungi pemimpin kita pada hari kebesaran. Penghantaran kuih-muih dan saling mengunjungi pada hari kebesaran menunjukkan kemesraan sesama kaum. Inilah identiti Malaysia yang dikagumi oleh dunia luar dan identiti ini perlu dikekalkan.

     Budaya tradisional juga dapat memupuk perpaduan negara. Rakyat majmuk kita kaya dengan nilai tradisional yang murni. Misalnya, kunjung- mengunjungi dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran. Rakyat kita tidak kira keturunan, agama dan amalan adat resam turut merayakan bersama-sama. Jiran tetangga dan sahabat handai saling mengunjungi. Kuih- muih bertukar pinggan. Kita saling menerima dan memberi. Ucapan “Selamat Hari Raya”, “Gong Xi Fa Cai” dan “Selamat Deepavali” keluar dari jiwa yang penuh keikhlasan. Semangat kekitaan ini akan mengeratkan siraturahim, seterusnya memupuk perpaduan.

     Salah satu tarikan pelancongan ialah budaya kita. Sebenarnya, keindahan pantai, landskap dan hutan Malaysia juga dapat ditemukan di kebanyakan tempat, misalnya di Indonesia dan di Negara Thai. Yang unik ialah budaya tradisional kita, misalnya persembahan teater tradisional seperti bangsawan dan makyung dan tarian seperti kuda kepang dan gawai. Banyak pelancong mengunjungi Malaysia kerana ingin mendekati corak hidup dan kebudayaan kita. Ada yang tinggal bersama-sama kita dikampung untuk merasai kehidupan kita. Tidak kurang pula yang merakamkan perkahwinan mereka mengikut adat resam Melayu. Jadi, budaya penting untuk mengembangkan pelancongan.

     Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita. Melalui budaya tradisional, kita mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar tentang kesulitan hidup nenek moyang kita. Dari sini kita akan mendapat iktibar. Misalnya, tarian Portugis mengingatkan kita tentang kedatangan Portugis. Bangsawan yang banyak menceritakan tentang Kesultanan Melaka dan kejatuhannya juga mendatangkan pengajaran. Budaya kita yang murni juga merupakan benteng budaya. Dengan ini, rakyat kita tidak dihanyutkan oleh budaya Barat. Yang ada pada hari ini berpunca daripada yang silam. Jadi generasi muda harus mengenali asal usul sendiri.

        Untuk mengembangkan budaya tradisional, rakyat mesti didedahkan kepada kekayaan warisan budaya negara. Kita boleh menganjurkan kempen, ceramah, wawancara serta pameran untuk menghidupkan warisan budaya. Dengan ini, rakyat kita akan lebih memahami budaya sendiri. Usaha kita menerapkan seni bina Melayu pada bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Muzium Negara, Bank Muamalat, dan bangunan lain perlu diperluas. Kemasukan budaya asing yang mampu menggugat kedudukan tradisi dan identiti negarajuga perlu disekat. Tempat dan bangunan bersejarah perlulah dikekalkan dan dipulihkan. Dengan ini, warisan budaya dapat diikuti dan dilihat sepanjang masa.

        Warisan tradisional kita boleh disampaikan kepada generasi muda melalui latihan. Kumpulan makyung, wayang kulit, zapin, dan sebagainya boleh dijalankan melalui Rakan Seni Budaya. Sistem pendidikan juga boleh menyelitkan budaya ! tradisional sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah. Pertandingan berbalas pantun clan tarian tradisional akan mengembangkan budaya ini. Usaha ini memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk mengikutinya. Dengan ini, budaya kita akan terus berkembang. Persembahan ini juga akan membolehkan orang ramai mengenalinya dengan lebih dekat. Dengan ini, seni jiwa bangsa dapat dihayati kerana “tak kenaI maka tak cinta”.

        Di samping itu, pameran artifak atau sejarah kebudayaan warisan pelbagai kaum di Malaysia haruslah digalakkan. Kini pengaruh media massa menyebabkan budaya tradisional kita kian dilupai. Sehubungan dengan itu, media massa tempatan perlu menyiarkan budaya kita dengan lebih kerap dan meluas. Misalnya, pameran kebudayaan tradisional boleh diadakan
melalui Pesta Malaysia, Pesta Negeri, Muzium Negeri, dan sebagainya. Pihak media massa juga digalakkan mengadakan sudut seni budaya. Akhbar Berita Harian,yang merencanakan sudut budaya tentang masakan, pakaian, hiasan, kepercayaan, petua kesihatan, dan sebagainya, harus dipuji. Sudut budaya juga boleh dimasukkan dalam rancangan khas televisyen seperti “Malaysia Hari lni” dan “Selamat Pagi Malaysia”.

        Janganlah kita biarkan kebudayaan kita hanya dapat ditonton di muzium, bak pepatah yang berbunyi “biar mati anak,jangan mati adat”. Oleh itu, usaha memupuk dan memelihara budaya ini tidak seharusnya dipandang enteng. Marilah kita bersama-sama memeliharanya supaya terus subur meredah zaman, tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan.

Karangan ketiga.

Negara kita mempunyai pelbagai kaum yang mengamalkan budaya atau adat resam mereka yang tersendiri. Budaya atau adat resam ini telah menjadi satu identiti kepada kaum tersebut.

Pada pendapat anda, apakah kepentingan budaya atau adat resam ini kepada masyarakat dan negara kita.

Salah satu kelebihan negara kita ialah masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita mempunyai kaum Melayu, Cina, India, dan berdozen-dozen kaum minoriti yang lain terutama di Sabah serta Sarawak. Situasi ini menyebabkan negara kita mempunyai pelbagai adat atau budaya yang menarik untuk diperhatikan. Malah, adat atau budaya yang unik ini mempunyai banyak kepentingan jika dihargai dengan sewajarnya.

Sebenarnya, budaya yang unik ini memang wajar dihargai kerana budaya inilah yang menonjolkan sesuatu kaum itu. Tanpa budaya ini sesuatu kaum itu akan kehilangan identitinya buat selama-lama. Budaya yang diamalkan itu seperti memakai pakaian tradisional, makan menggunakan tangan, pergi ke kubur ketika hari raya dan sebagainya turut menimbulkan rasa bangga kepada pengamal budaya kaum itu. Individu yang terbabit akan berasa mereka telah berjaya mengekalkan budaya turun-temurun nenek moyang mereka selama ini.

Selain itu, tindakan individu tertentu menghargai budaya ini menjadi satu cara yang paling mudah untuk mempamerkan rasa mengormati generasi tua daripada generasi muda. Budaya memakai pakaian tradisional menjadi satu kaedah yang mudah untuk diamalkan oleh remaja dalam usaha mereka mengekalkan budaya tradisional ini. Remaja bukan sahaja mamu membuktikan rasa hormat mereka tetapi turut menerima penghargaan generasi tua lantaran sanggup mengekalkan budaya.

Salah satu kepentingan mengekalkan budaya ialah budaya mempunyai nilai-nilai murni dan sikap menghormati. Kedua-dua sikap ini sudah hampir terkikis daripada diri remaja negara ini. Remaja sudah mula memanggil ibu bapa mereka dengan nada yang kasar, lari dari rumah, dan suka memarahi orang tua. Jadi, pengekalan dan pengamalan budaya ini sudah pasti akan menonjolkan rasa hormat dan sikap atau jati diri remaja yang murni. Remaja akan menjadi individu yang terbilang.

Malah, sikap menghargai budaya memastikan sesuatu budaya kaum itu tidak akan luput ditelan zaman. Lihat sahaja budaya bekerjasama menjalankan kenduri sudah mula hilang sedikit demi sedikit lantaran masyarakat kita lebih suka menggunakan perkhidmatan katering. Atas alasan mudah, kita sudah melupakan budaya bekerjasama ketika mengadakan kenduri yang mempunyai banyak impak positif tetapi penat itu. Usaha mengekalkan budaya kaum sudah pasti akan mengembalikan nostalgia majlis kenduri yang dijalankan secara meriah.

Tambahan pula, pengamalan budaya ini memastikan peraturan dan saling bergantung anggota masyarakat diamalkan. Untuk mencapai perpaduan, semua kaum harus mengekalkan budayanya kerana melalui budayalah kita bersatu. Sikap hormat antara satu sama lain menyebabkan kita tidak akan cuba menyakiti kaum lain atas perkara-perkara yang remeh. Sebaliknya, penghargaan terhadap budaya menguatkan semangat perpaduan kita.

Kesimpulannya, budaya atau adat sesuatu kaum itu merupakan satu khazanah yang arus dipertahankan oleh rakyat negara ini. Usahlah kita terlalu memandang ke arah kemodenan sehingga menganggap budaya sendiri sudah lapuk atau tidak sesuai lagi. Kita harus melihat budaya sebagai satu alat yang mampu membentuk kita ke arah kemodenan yang lebih baik lagi iaitu kemodenan rohaniah dan kebendaan. Mungkin selepas menguasai budaya barulah kita boleh menganggap diri kita sudah mencapai kemodenan hidup.

Karangan keempat.

Di sini lahirnya sebuah cinta.

Yang murni abadi sejati.

Di sini tersemai cita-cita.

Bercambah menjadi warisan.

Ku ingin kotakan seribu janji.

Sepanjang kedewasaan ini.

Ku ingin sampaikan pesanan.

Akulah penyambung warisan.

Rangkap pertama dan rangkap terakhir daripada lirik lagu Warisan yang dinyanyikan oleh penyanyi tersohor negara, Allahyarham Sudirman bin Haji Arshad telah mempotretkan kita sebagai penyambung warisan negara. Warisan negara dapat ditakrifkan secara literal sebagai khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman daripada nenek moyang kita. Warisan negara bukan sahaja merangkumi bangunan bersejarah semata-mata, malah tarian tradisional, permainan tradisional dan juga seni mempertahankan diri seperti silat. Sungguhpun begitu, hakikatnya ialah generasi pada masa ini semakin memandang sepi dan tidak menghargainya ekoran tahap kesedaran mereka yang terlalu rendah. Persoalan yang telah menerjah dan menerawang di gawang minda saya ialah apakah kepentingan mengekalkan warisan negara kepada kita? Oleh hal yang demikian, kepentingan mengekalkan warisan negara yang menunjangi fokus perbincangan akan dikupas dan dibugar secara terperinci sehingga ke akar umbi demi kebaikan kita bersama.

Suatu hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah warisan negara amat penting sebagai satu elemen yang melambangkan identiti sesebuah negara. Dalam konteks ini, identiti sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budaya seperti tarian tradisional sesuatu kaum di Malaysia. Tambahan pula, tarian tradisional yang pelbagai menunjukkan sifat masyarakat yang majmuk khususnya di negara kita yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi membuktikan perkara ini, contoh tarian tradisional yang dapat saya ketengahkan ialah tarian Mak Yong dan Zapin oleh orang Melayu, tarian naga dan tarian kipas oleh orang Cina serta tarian Kathak dan Bharata Natyam oleh kaum India. Dengan perkataan lain, semua jenis tarian di Malaysia mempunyai identiti, sejarah dan tujuan yang tersendiri. Yang paling nyata ialah setiap rakyat Malaysia hendaklah berusaha mengenali serba sedikit tentang budaya tarian bagi setiap kaum di negara kita. Izharlah bahawa, kepentingan mengekalkan warisan negara adalah untuk melambangkan identiti sesebuah negara.

Mari kita kupaskan signifikan seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam berbicara tentang kepentingan memelihara warisan negara supaya menjadi daya tarikan pelancong sama ada pelancong domestik mahupun pelancong antarabangsa. Pada masa yang sama, pengekalan monumen, arca dan bangunan bersejarah tinggalan penjajah telah menggamit hati para pelancong untuk melihat sendiri keunikan ciptaan masyarakat terdahulu. Secara langsung, senario ini dapat dibuktikan menerusi peningkatan bilangan pelancong yang mengunjungi bandar warisan seperti Georgetown dan Kota Bharu, Kelantan yang amat ketara dalam tempoh tahun 1990 hingga 1997. Antara contoh negeri lain di Malaysia yang menjadi destini wajib para pelancong untuk mengetahui sejarah sebenar yang berlaku dan mempunyai kesan tinggalan sejarah ialah negeri Melaka seperti Kota A Famosa, perigi Hang Tuah dan juga makam Hang Jebat yang terletak di Bandaraya Bersejarah tersebut. Jelaslah bahawa, warisan negara perlu dikekalkan bagi merancakkan industri pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. 

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, warisan negara juga hendaklah dipelihara untuk mengekalkan kesinambungan tamadun sesuatu bangsa. Menyedari hakikat ini, permainan tradisional yang merupakan permainan warisan masyarakat Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu haruslah dihidupkan kembali kerana permainan tradisional ini menjadi lambang warisan dan kebudayaan masyarakat Melayu supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Antara contoh permainan tradisional masyarakat Melayu yang boleh saya ketengahkan ialah wau, gasing, sepak raga, congkak dan batu seremban. Yang paling nyata, pada zaman dahulu, permainan tradisional merupakan salah satu cara untuk mengisi masa lapang sedangkan pada zaman ini, permainan tradisional semakin dilupakan kerana sudah tidak relevan dan tidak dikomersialkan di kaca-kaca televisyen. Bertitik tolak daripada itu, alat permainan tradisional perlu dimodifikasikan supaya menjadi lebih menarik, namun begitu ciri-ciri keunikannya hendaklah dikekalkan keasliannya. Tegasnya, kesinambungan tamadun perlu dikekalkan supaya generasi muda celik tentang asal usul mereka dan tidak lupa daratan.

Ayuh, kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci kepentingan mengekalkan warisan negara bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, semangat patriotisme akan lahir dengan sendirinya apabila generasi muda dapat merasakan keperitan dan semangat perjuangan pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta. Tambahan pula, nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat pada Tugu Negara untuk tatapan semua. Rentetan itu, generasi muda tidak akan menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana mereka akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air dalam mempertahankan negara. Pada masa yang sama, peristiwa sejarah penting yang berlaku di negara kita dapat dikenang semula apabila bangunan lama yang diberi nafas baharu dapat mengembalikan nostalgia yang sungguh bermakna buat semua. Sebagai analoginya, Bangunan Sultan Abdul Samad telah menjadi saksi bisu terhadap kemerdekaan negara tatkala laungan kemerdekaan yang diketuai oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 telah berlangsung di sini.   Deduksinya, usaha memelihara warisan negara amat penting bagi memupuk semangat patriotisme agar generasi muda tidak melupakan sejarah-sejarah penting negara kita.

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, dapatlah saya rumuskan di sini bahawa warisan negara haruslah dihargai dan dipelihara oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara kerana memainkan peranan bagi merancang, mengumpul dan mengedar bahan serta informasi berkaitan seni dan budaya untuk tatapan umum. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah bekerjasama dengan pihak kerajaan ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni supaya warisan nenek moyang kita dapat dilestarikan. Memetik kata-kata pujangga George Santayana, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Usaha yang dilaksanakan itu perlulah bersungguh-sungguh bak mutiara kata genggam bara api biar sampai jadi arang. Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, janganlah kita biarkan warisan kita hanya dapat disaksikan di muzium sahaja, bak pepatah yang berbunyi, biar mati anak, jangan mati adat, supaya warisan negara terus subur dan mekar meredah zaman.

Karangan kelima.

Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita. Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tetapi kini, warisan budaya tradisional negara kita smakin lenyap ditelan arus pemodenan.

Budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, keuikan pakaian tradisional pelbagai kaum yang pelbagai bentuk potongan dan cara pemakaian serta berwarna-warni.

Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi pekerti masyarakat Malaysia. Nilai murni yang ditunjukkan dalam majlis korban dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran menunjukkan kita prihatin terhadap orang lain dan bersikap mesra. Banyak orang asing terkejut kerana rakyat kita bebas mengunjungi pemimpin kita pada hari kebesaran. Penghantaran kuih-muih dan saling mengunjungi pada hari kebesaran menunjukkan kemesraan sesama kaum. Inilah identiti Malaysia yang dikagumi oleh dunia luar dan identiti ini perlu dikekalkan.

Budaya tradisional juga dapat memupuk perpaduan negara. Rakyat majmuk kita kaya dengan nilai tradisional yang murni. Misalnya, kunjung- mengunjungi dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran. Rakyat kita tidak kira keturunan, agama dan amalan adat resam turut merayakan bersama-sama. Jiran tetangga dan sahabat handai saling mengunjungi. Kuih- muih bertukar pinggan. Kita saling menerima dan memberi. Ucapan “Selamat Hari Raya”, “Gong Xi Fa Cai” dan “Selamat Deepavali” keluar dari jiwa yang penuh keikhlasan. Semangat kekitaan ini akan mengeratkan siraturahim, seterusnya memupuk perpaduan.

Salah satu tarikan pelancongan ialah keunikan budaya tradisional kita, misalnya persembahan teater tradisional seperti bangsawan dan makyung dan tarian seperti kuda kepang dan gawai. Banyak pelancong mengunjungi Malaysia kerana ingin mendekati corak hidup dan kebudayaan kita. Ada yang tinggal bersama-sama kita dikampung untuk merasai kehidupan kita di samping menghayati kekayaam warisan bumi seperti keunikan dan keindahan pantai, landskap dan hutan Malaysia.. Tidak kurang pula yang merakamkan perkahwinan mereka mengikut adat resam Melayu. Jadi, budaya penting untuk mengembangkan pelancongan.

Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita. Melalui budaya tradisional, kita mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar tentang kesulitan hidup nenek moyang kita. Dari sini kita akan mendapat iktibar. Misalnya, tarian Portugis mengingatkan kita tentang kedatangan Portugis. Bangsawan yang banyak menceritakan tentang Kesultanan Melaka dan kejatuhannya juga mendatangkan pengajaran. Budaya kita yang murni juga merupakan benteng budaya. Dengan ini, rakyat kita tidak dihanyutkan oleh budaya Barat. Yang ada pada hari ini berpunca daripada yang silam. Jadi generasi muda harus mengenali asal usul sendiri.

Untuk mengembangkan budaya tradisional, rakyat mesti didedahkan kepada kekayaan warisan budaya negara. Kita boleh menganjurkan kempen, ceramah, wawancara serta pameran untuk menghidupkan warisan budaya. Dengan ini, rakyat kita akan lebih memahami budaya sendiri. Usaha kita menerapkan seni bina Melayu pada bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Muzium Negara, Bank Muamalat, dan bangunan lain perlu diperluas. Kemasukan budaya asing yang mampu menggugat kedudukan tradisi dan identiti negarajuga perlu disekat. Tempat dan bangunan bersejarah perlulah dikekalkan dan dipulihkan. Dengan ini, warisan budaya dapat diikuti dan dilihat sepanjang masa.

Warisan tradisional kita boleh disampaikan kepada generasi muda melalui latihan. Kumpulan makyung, wayang kulit, zapin, dan sebagainya boleh dijalankan melalui Rakan Seni Budaya. Sistem pendidikan juga boleh menyelitkan budaya tradisional sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah. Pertandingan berbalas pantun dan tarian tradisional akan mengembangkan budaya ini. Usaha ini memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk mengikutinya. Dengan ini, budaya kita akan terus berkembang. Persembahan ini juga akan membolehkan orang ramai mengenalinya dengan lebih dekat. Dengan ini, seni jiwa bangsa dapat dihayati kerana “tak kenaI maka tak cinta”.

Di samping itu, pameran artifak atau sejarah kebudayaan warisan pelbagai kaum di Malaysia haruslah digalakkan. Kini pengaruh media massa menyebabkan budaya tradisional kita kian dilupai. Sehubungan dengan itu, media massa tempatan perlu menyiarkan budaya kita dengan lebih kerap dan meluas. Misalnya, pameran kebudayaan tradisional boleh diadakan melalui Pesta Malaysia, Pesta Negeri, Muzium Negeri, dan sebagainya. Pihak media massa juga digalakkan mengadakan sudut seni budaya. Akhbar Berita Harian, yang merencanakan sudut budaya tentang masakan, pakaian, hiasan, kepercayaan, petua kesihatan, dan sebagainya, harus dipuji. Sudut budaya juga boleh dimasukkan dalam rancangan khas televisyen seperti “Malaysia Hari lni” dan “Selamat Pagi Malaysia”.

Janganlah kita biarkan kebudayaan kita hanya dapat ditonton di muzium, bak pepatah yang berbunyi “biar mati anak,jangan mati adat”. Oleh itu, usaha memupuk dan memelihara budaya ini tidak seharusnya dipandang enteng. Marilah kita bersama-sama memeliharanya supaya terus subur meredah zaman, tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan.

Karangan Kelima

SUDAH pasti sesiapa rakyat Malaysia apabila berada di luar negara tidak kira bekerja, belajar atau melancong, secara tiba-tiba mendengar bahasa Melayu dipertuturkan lalu dijengah atau melihat sekeliling siapa gerangan itu.

Ada kalanya terlihat dua tiga individu yang rupa-rupanya kaum Cina Indonesia yang begitu petah berbicara walaupun loghat Melayu itu berbaur negara jiran berkenaan.

Itu antara pengalaman penulis sewaktu di Melbourne mahu pun di beberapa negara Eropah. Begitu senang sekali kedengaran kemelayuannya itu.

Terubat rindunya dan semangat jati diri betapa bahasa Melayu itu tidak terpinggir.

Kerana itu, bahasa dilihat keupayaan manusia untuk berhubung antara satu sama lain termasuk dari aspek potensi untuk kita mengerti dan memahami persoalan yang dimaksudkan.

Keadaan yang sama berlaku di negara kita tercinta ini apabila seronok jua memerhati pekerja asing yang mencari rezeki di sini juga turut berbicara bahasa Melayu itu sendiri, termasuk dalam kumpulan mereka.

Yang datangnya dari Bangladesh, Nepal, Pakistan, Vietnam, Myanmar, Filipina dan Syria waima sekali pun sudah mudah berbicara dalam bahasa Melayu walaupun struktur ayat dan pertuturan itu ada yang masih tonggang terbalik.

Tidak mengapa, sebaliknya penulis memuji kesungguhan mereka untuk berbicara, berusaha belajar dan memahami bahasa Melayu.

Mengapa mereka melihat kepentingan untuk berbicara dalam bahasa Melayu itu ?

Kalau kita perhalusi, bahasa Melayu merupakan salah satu akar umbi bangsa dapat mengembalikan sesuatu yang manusia sering hilang, iaitu rasa cinta dan persaudaraan serta nilai permuafakatan kerana tujuan pengukuhan bahasa ialah menciptakan kesatuan dan kebersamaan.

Dalam arus globalisasi, bahasa Melayu adalah bahasa ilmu, bahasa identiti bangsa Melayu dan bahasa Melayu antara bahasa dunia yang mudah dipertuturkan.

Lagi-lagi di Malaysia, bahasa Melayu adalah alat perhubungan antara masyarakat dan seterusnya menjadi penggerak tamadun bangsa kerana bahasa Melayu adalah bahasa lingua-franca sejak dahulu lagi.

Oleh itu, kemajuan, kesanggupan dan kewibawaan bahasa Melayu tidak harus dipertikaikan atau diragui dalam era globalisasi kini.

Sebagai jaminan, bahasa Melayu berada di peringkat istimewa dan tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kalau kita lihat dari ruh konsep Perlembagaan itu, ia bukan hanya membabitkan apa-apa perkara yang berkenaan dengan urusan kerajaan, rangka demokrasi dan perlindungan akan hak-hak rakyatnya.

Tetapi ianya adalah sebuah dokumen yang mengandungi peruntukan asas tertentu secara tersendiri bagi mencerminkan pertimbangan suasana muhibah, penerimaan yang murni dan kesefahaman antara rakyatnya.

Perkara ini menunjukkan bahawa Perlembagaan itu bukan sekadar satu dokumen undang-undang, tetapi adalah sebuah dokumen yang tidak terpisah dari sejarah, perkembangan dan tradisi sesuatu negara khususnya di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik.

Penulis mengimbau semula bahawa bahasa Melayu adalah salah satu daripada empat unsur tradisi yang terdapat dalam Perlembagaan yang merangkumi pemerintahan beraja, kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam.

Unsur-unsur tradisi ini sesuatu yang telah sedia ada sebelum Perlembagaan itu digubal oleh Suruhanjaya Reid pada tahun 1956.

Suruhanjaya ini hanya memasukkan kembali apa yang telah sedia ada di Tanah Melayu ketika itu.

Unsur tradisi ini pula dianggap sebagai satu kontrak sosial antara orang Melayu dan bukan Melayu sewaktu penggubalan Perlembagaan.

Maka, kontrak sosial ini merujuk kepada persetujuan yang dicapai antara orang Melayu dan bukan Melayu mengenai orang bukan Melayu mendapat kewarganegaraan secara jus soli.

Manakala orang Melayu mendapat Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pengekalan institusi beraja.

Jadi kita sebagai rakyat bertanggungjawab, perlulah rajin menyelak semula buku Perlembagaan itu dan rujuk kepada Perkara 152 (1) memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

Agak-agaknya berapa ramai rakyat Malaysia tahu soal Perkara 152 (1) selepas 60 tahun kemerdekaan ?

Mari kita amati lagi dalam Perlembagaan itu di mana peruntukan Perkara 150(6A) dengan terang menyatakan bahawa hal-hal yang berhubung dengan bahasa Melayu, walaupun dalam keadaan darurat adalah dilindungi oleh Perlembagaan.

Perkara 150(6A) ini penting kerana secara umumnya perisytiharan darurat mempunyai kesan menggantung sebahagian besar peruntukan-peruntukan Perlembagaan.

Dengan kata lain, ia menyebut pengecualian terhadap bahasa Melayu kepada kuasa darurat yang luas itu, dipetik dalam Abdul Aziz Bari, buku bertajuk Islam dalam Perlembagaan Malaysia.

Kedudukan bahasa Melayu ini semakin jelas dalam Perlembagaan melalui Perkara 10 (4) yang menjadikan bahasa Melayu adalah antara perkara yang sensitif yang dilarang daripada dibahaskan di tempat terbuka atas tujuan keselamatan dan ketenteraman awam.

Kedudukan ini juga begitu kukuh kerana ia tidak dapat dipinda oleh Parlimen jika tidak mendapat sokongan dua pertiga setiap dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja melalui Perkara 159 (5).

Begitu juga dengan kedudukan sebagai bahasa rasmi bagi tujuan kerajaan baik kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri dan termasuk apa-apa tujuan untuk sesuatu kuasa awam, hendaklah menggunakan bahasa Melayu kecuali atas beberapa perkara yang dibenarkan oleh undang-undang seperti yang termaktub dalam Seksyen 4, Akta Bahasa Kebangsaan.

Antara pengecualian tersebut ialah bagi tujuan hubungan diplomatik dan latihan yang dijalankan oleh pakar-pakar asing.

Seterusnya, perkara ini ditambah lagi dengan peruntukan di bawah Perkara 160B yang menjelaskan bahawa jika Perlembagaan diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan.

Jika terdapat percanggahan teks terjemahan dengan teks dalam bahasa Inggeris, maka teks kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris.

Isu terkini membabitkan kelonggaran syarat kelayakan lulus dengan kepujian subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak pegawai perubatan gred UD41 baru-baru ini telah menguji kewibawaan bahasa Melayu itu sendiri.

Ketegasan dan kebijaksanaan Kerajaan menanganinya terutama ketelitian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam menyampaikan suara Eksekutif dalam mempertahankan ruh Perlembagaan mempunyai asas-asas yang kukuh.

Keputusan Kabinet tepat dalam memutuskan tiada sebarang kelonggaran berkaitan bahasa Melayu diizinkan untuk sebarang jawatan awam.

Malahan langkah Kabinet turut memutuskan untuk mengekalkan syarat-syarat lulus Bahasa Melayu dalam pengambilan semua jawatan dalam sektor awam di negara ini amat dialu-alukan.

Sebelum mengakhiri, penulis hendak menceritakan sedikit satu kisah benar dalam sejarah.

Sebelum Perang Dunia Kedua, bahasa Melayu digunakan secara meluas bagi tujuan rasmi seperti mesyuarat, surat-menyurat, perundangan dan kehakiman di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Jabatan Polis, dan sebagainya bagi memudahkan urusan pentadbiran kerana kakitangannya terdiri daripada pelbagai kaum.

Perkara ini diperkuatkan lagi oleh hakikat bahawa bahasa Melayu diterima sebagai bahasa rasmi apabila Johor menerima Penasihat Inggeris pada tahun 1914.

Sebagai contoh, dalam surat bertarikh 11 Mei 1914, Sultan Ibrahim iaitu Sultan Johor menulis surat kepada Sir Arthur Young, Gabenor Singapura:

“Beta juga perlu meminta penerimaan Yang di Pertuan terhadap prinsip bahawa Bahasa Melayu dan Inggeris harus diterima sebagai bahasa rasmi untuk digunakan di dalam mahkamah keadilan beta dan di dalam semua jabatan kerajaan beta. Berhubungan dengan penulisan bahasa Melayu huruf Jawi perlu diberikan pengiktirafan rasmi”.

Sila rujuk kepada buku mantan Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Suffian Hashim bertajuk Mengenal Perlembagaan Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lagi ironinya, pegawai-pegawai Eropah yang memegang lebih 95 peratus jawatan Kumpulan I perlu mempelajari bahasa Melayu, mengambil ujian Bahasa Melayu dan dikehendaki lulus, barulah boleh ditempatkan di Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu.

Keadaan ini menunjukkan bahasa Melayu telah diterima sebagai bahasa perantaraan rasmi walaupun di zaman penjajah Inggeris.

Perkara ini telah diiktiraf oleh Tan Siew Sin dalam Majlis Perundangan Persekutuan, 10 Julai 1957 iaitu:

“Masyarakat bukan Melayu menaruh harapan yang besar terhadap kebudayaan dan bahasa mereka. Biar saya nyatakan, sebagai contoh, Perlembagaan Reid sebagaimana rangka awalnya tidak menyebut apa-apa tentang mengekal dan mengembang bahasa Cina dan Tamil, ataupun bahasa-bahasa lain. Apabila dicadangkan kepada pemimpin Melayu bahawa perlembagaan sepatutnya dengan eksplisit menyatakan pengekalan dan perkembangan kedua-dua bahasa Cina dan Tamil hendaklah digalak dan dipelihara, mereka bersetuju. Saya sebutkan kejadian ini untuk menunjukkan kepada mereka di luar bulatan bahawa pemimpin Melayu pada asasnya adalah adil dan berpandangan luas”.

Sekarang bukti sejarah perihal bahasa Melayu diserlahkan dalam ruang artikel ini, maka hormatlah bahasa Melayu ! - www.bacalahmalaysia.com

Nota: Penulis ialah Ketua Penyelidik di Bahagian Media Strategik dan Penyelidikan, MINSTRA dan pengarang digital kanan berita portal BacalahMalaysia.com




Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tajuk Karangan Tentang Stress.

• Karangan Kedua Stress dapat menjadi pendorong kepada sesuatu tindakan dan pencapaian serta boleh menimbulkan masalah kesihatan. Stres merupakan hasil interaksi antara peristiwa persekitaran dengan individu. Paras stress yang dihasilkan akan bergantung kepada sumber tekanan dan cara individu tersebut bertindak balas. Stres member kesan terhadap emosi seseorang. Emosi seseorang itu akan terganggu dan perasaan risau sentiasa menghantuinya. Selain itu, seseorang itu mengalami ketegangan fikiran dan tidak dapat membuat keputusan dengan baik. Stres juga menyebabkan seseorang itu berasa seolah-olah otaknya sentiasa letih dan penat berfikir.Stres mengubah sikap seseorang itu daripada seorang yang sabar kepada cepat marah dan sentiasa mengeluh. Kadang-kadang, seseorang itu juga menunjukkan perasaan runsing, kecewa dan mudah menangis. Stres yang tidak terkawal akan menyebabkan perasaan cemas, sensitive,murung,sukar tidur dan hilang selera makan. Stres juga mendatangkan ancaman penyakit kepa

Karangan Masalah Pengangguran & Langkah Mengatasinya.

Isu pengangguran telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama golongan siswazah. Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja melibatkan siswazah tetapi golongan lain juga. Jadi, apakah punca-punca wujudnya pengangguran dan apakah cara-cara mengatasinya. Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke negara ini. Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama golongan siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap menjadi satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan umum negara diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan. Jadi, apakah punca-punca yang medorong isu ini berlaku. Sudah pasti punca utama berkaitan dengan keadaan ekonomi negara yang merudum. Situasi ini menyebabkan banyak syarikat atu kilang terpaksa gulung tikar dan membuang pekerjanya. Bukan sahaja mereka dibuang kerja tetapi mereka juga sukar untuk memperoleh kerja dalam tempoh yang